KUALA LUMPUR-Nama penyerang naturalisasi Guilherme De Paula masih menjadi pilihan Ketua jurulatih Tan Cheng Hoe bagi saingan Piala AFF Suzuki 2020 Disember depan.
Senarai akhir yang dikeluarkan Persatuan Bola Sepak (FAM) menyaksikan 28 pemain akan dibawa ke Singapura.
Daripada senarai dikeluarkan, beberapa pemain masih menjadi pilihan Cheng Hoe sekalipun mereka bukanlah pemain kesebelasan utama untuk kelab masing-masing.
Paling mencuri tumpuan adalah De Paula yang masih diberikan pilihan walaupun pemain tersebut kurang menyengat ketika menyarung jersi skuad kebangsaan pada pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 sebelum ini.
Bahkan bersama JDT pun, aksi De Paula di atas padang boleh dianggap ‘biasa-biasa’ sahaja.
Rata-rata netizen di ruangan komen FAM mempertikai pemilihan De Paula oleh Cheng Hoe selepas senarai akhir pemain dikeluarkan dua hari lalu.
Mereka menyifatkan pemain tempatan seperti Amri Yahyah yang kini beraksi untuk Sabah lebih layak untuk dipilih.
Apapun, keputusan telah dibuat Cheng Hoe dan FAM.
Kini menjadi tanda tanya adakah kemasukan De Paula bagi skuad Piala AFF Suzuki 2020 berbaloi?
RENTAS7
Leave a Reply