Malaysia kecewa sikap bacul PBB

Situasi di Palestin terus genting dengan serangan rejim Zionis Israel

KUALA LUMPUR– Malaysia menyatakan kekecewaan dengan sikap bacul Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang masih membisu terhadap situasi genting di Palestin.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, tiada satu pun kenyataan dikeluarkan PBB walaupun sudah tiga kali bersidang dalam minggu ini.

“Dalam minggu ini sahaja, sudah tiga kali Majlis Keselamatan United Nations bersidang, malangnya satu kenyataan belum dikeluarkan mengenai situasi semasa di Palestin.

“Malaysia kecewa dengan Majlis Keselamatan PBB yang gagal untuk mengutuk tindakan Israel serta menggesa keganasan ke atas rakyat Palestin dihentikan,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru itu beliau berkata, Malaysia menuntut PBB melaksanakan segera tiga gesaan yang dikemukakan.

“Pertama, Majlis Keselamatan PBB perlu bertindak segera dan memikul tugasnya yang termaktub di bawah Piagam PBB.

“Kedua, Majlis Keselamatan PBB hendaklah tegas dan bersatu suara serta bertindak pantas terhadap siri serangan oleh regim Israel.

“Dan paling penting, Majlis Keselamatan PBB perlu mengkaji semula cadangan mengenai penempatan pasukan bersenjata PBB atau pemerhati tidak bersenjata bagi meningkatkan perlindungan ke atas rakyat Palestin,”katanya.

Dalam pada itu tegasnya, Malaysia, selaras dengan kenyataan bersama Negara Brunei Darussalam dan Indonesia mendesak Perhimpunan Agung PBB untuk segera mengadakan Sesi Khas bagi menghentikan kekejaman dan penjajahan Israel di Palestin.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.