“Kami belum terima bantuan COVID19, tiada maklum balas”

PADANG SERAI- Penduduk Parlimen Padang Serai dan DUN Merbau Pulas di sini memohon pihak berwajib menyalurkan bantuan terutamanya bekalan makanan kepada penduduk terjejas COVID-19.

Presiden Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Menengah Padang Serai (SMPS), Hamzah Abd Rahman (gambar) berkata, berdasarkan laporan diterima, penduduk belum menerima bantuan sewajarnya.

“Saya selaku Presiden SMPS berasa amat terkilan selepas menerima aduan daripada penduduk setempat.

“Mereka memaklumkan belum menerima apa-apa bantuan COVID19. Jika penduduk menerima bantuan makanan itu pun sudah membantu,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihak berwajib diharap menyalurkan bantuan dengan menyeluruh supaya ia sampai kepada golongan sasaran.

” Jangan gunakan saluran politik dalam mengagihkan peruntukan pada kroni-kroni, ia tak akan menyelesaikan masalah rakyat di setiap kampung.

“Penduduk ibarat kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Bila arahan menghadkan pergerakan dikeluarkan, maka sumber pendapatan mereka terhenti,”katanya.

Katanya, karenah birokrasi dalam mengagihkan bantuan akan timbul sekiranya ia diurus oleh individu daripada parti politik.

“Saya sudah dihubungi oleh penduduk setempat yang memohon bantuan sewajarnya. Bila saya hubungi pihak-pihak dilantik namun sampai sekarang belum ada maklum balas.

“Saya merayu pada pihak-pihak bertanggungjawab agar telus mengagihkan bantuan.

“Pihak persatuan kami bersedia untuk membantu dalam mengagihkan secara saksama,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.