Dana Waqaf Halal atasi masalah stok ayam mentah Malaysia

Datuk Mustaffa Idrus

KUALA LUMPUR-Setiap kali masuknya musim perayaan, masalah bekalan stok ayam mentah pasti akan berlaku.

Ia kemudian melarat kepada kenaikan harga ayam yang akhirnya menguntungkan pihak tengah dan menekan rakyat terutamanya golongan B-40.

Bagi memastikan isu berlaku diselesaikan segera, Ketua Penerangan Majlis Ekonomi Halal Malaysia, Datuk Mustaffa Idrus mencadangkan penubuhan Dana Waqaf Halal yang berperanan sebagai ‘lead organiser’ projek ternakan ayam secara kontrak ladang dengan mewujudkan konsortium atau gabungan koperasi.

Menurut Mustaffa, setiap koperasi akan diberikan konsultasi, dana dan pembelian semula anak-anak ayam.

“Koperasi juga perlu mencari tanah dan ahli-ahli bagi menjadi penternak dan sebagainya,”katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Majlis Ekonomi Halal Malaysia  di Menara Arina Uniti di sini baru-baru ini.

Mustaffa berkata, melalui program itu, rumah sembelihan ayam serta kilang  memproses ayam makanan akan diwujudkan.

Katanya, ia termasuk melakasanakan penyelidikan dan pembangunan (R&D) pembakaan ayam daging dan telur.

“Ayam-ayam ini boleh dipasarkan secara dalam talian tanpa perlunya membuka kedai. Sebaliknya kita hanya pasarkan ia kepada rangkaian sedia ada seperti Halal Mart, pemain baharu dan sebagainya,”katanya.

Beliau berkata, kaedah pembayaran digital atau e-wallet akan diguna pakai bagi menjayakan kaedah itu.

“Insya Allah isu bekalan stok ayam mentah di negara kita akan dapat diatasi melalui program ini.

“Walaupun di peringkat cadangan, program ini saya yakin dapat dibangunkan dengan sokongan semua pihak,”katanya.

Turut hadir, Pengerusi Koperasi Majlis Ekonomi Halal Malaysia Dr. Helmi Ibrahim.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.