Kekurangan pelancong, Thailand tutup dua lapangan terbang

 

BANGKOK– Lapangan Terbang Thailand (AOT) sedang mempertimbang untuk menutup dua daripada enam lapangan terbang di negara itu.

Presiden Lapangan Terbang Thailand (AOT), Nitinai Sirismatthakarn berkata, lapangan terbang tersebut ialah Lapangan Terbang Antarabangsa Hat Yai di wilayah Songkhla dan Mae Fah Luang – Lapangan Terbang Antarabangsa Chiang Rai.

Menurutnya, langkah itu mungkin diambil ekoran kekurangan jumlah penerbangan pesawat di dua lapangan terbang berkenaan.

“Lapangan Terbang Hat Yai telah merekodkan penurunan pelancong sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terutamanya dari negara-negara jiran seperti Malaysia,”katanya yang dipetik daripada Asiaone.

Beliau berkata, Hat Yai kini juga disaingi hebat pusat pelancongan di Phuket.

Menurutnya, pelbagai tempat menarik di Phuket selain kemudahan mendapatkan pesawat faktor utama pelancong memilih destinasi itu berbanding Hat Yai.

“Hat Yai ialah pusat ekonomi di selatan, ia bukan hab pelancongan. Pelancong yang pergi ke Hat Yai juga didapati sukar mendapatkan pesawat ke tempat lain.

“Tahun fiskal 2019 (Oktober 2018 hingga September 2019) Lapangan Terbang Hat Yai hanya menerima sejumlah 4.02 juta penumpang, penurunan 5.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Jumlah penerbangan juga jatuh sebanyak 7.4 peratus kepada 2,027 penerbangan setiap tahun,”katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, AOT merancang untuk menggabungkan Lapangan Terbang Hat Yai dengan Lapangan Terbang Phuket dalam tempoh lima atau enam tahun akan datang.

“Kami juga merangka rancangan untuk membina lapangan terbang kedua di kawasan Phuket,”katanya.

Mengulas kekurangan penerbangan di Lapangan Terbang Mae Fah Luang, Nitinai berkata, kemudahan fasiliti di situ belum dibangunkan sepenuhnya untuk menarik pelancong asing.

“Selain mempertimbangkan untuk menutup dan menggabungkan lapangan terbang, AOT akan mencari sumber pendapatan tambahan untuk menampung kerugian.

“Antaranya dengan menyewa kawasan lapangan terbang kepada pengguna swasta dan menyediakan perkhidmatan keselamatan untuk organisasi lain,”katanya

Enam lapangan terbang di bawah pentadbiran AOT ialah Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang, Lapangan Terbang Antarabangsa Phuket, Lapangan Terbang Antarabangsa Chiang Mai, Mae Fah Luang – Lapangan Terbang Antarabangsa Chiang Rai dan Lapangan Terbang Antarabangsa Hat Yai.

Rentas7.com/ Foto: The Nation

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.