Kuil, tokong dituntut patuhi penuh SOP

Dr Robert tengah menyampaikan sumbangan pelitup muka kepada sebuah sekolah di Tawar kelmarin

ALOR SETAR– Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) dituntut patuh sepenuhnya pada operasi standard prosedur (SOP) bagi mengelakkan penularan wabak COVID-19.

EXCO Perumahan, Alam Sekitar, Perpaduan, Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam Negeri Kedah, Dr Robert Ling Kui Ee berkata, kerajaan negeri memberikan perhatian serius terhadap pengoperasian RIBI dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menurutnya, pemantauan berterusan terhadap 65 RIBI berdaftar akan terus dilakukan oleh pegawai-pegawai pemantau daripada Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Kedah.

“Pelbagai kluster Covid-19 masa kini misalnya Kluster Sivagangga, Kluster Tawar dan Kluster Sala amat menggerunkan kita semua.

“RIBI yang mengadakan apa-apa upacara keagamaan samada di kuil, tokong dan sebagainya hendaklah akur dan patuh sepenuhnya SOP yang ditetapkan,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pula akan memantau lain-lain Rumah Ibadat Yang Lain (RIYL) di negeri ini.

“Pihak berkuasa akan bertindak tegas tanpa kompromi bagi mana-mana individu atau RIBI yang ingkar kepada arahan ini.

“Manakala Perincian Kes Covid 19 di Yan adalah tiada kaitan dengan mana-mana Kluster,”katanya.

Dr Robert berkata, kes berkenaan adalah daripada gejala SARI yang dialami.

“SARI bermaksud (Severe Acute Respiratory Infection) iaitu masalah pernafasan dan sistem respirasi yang teruk berlaku pada pesakit. Punca kes masih disiasat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Kerajaan Negeri bersama-sama jabatan dan agensi terlibat secara serius berusaha menyekat dan membendung penularan Covid-19 ini,”katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri menyeru agar rakyat Negeri Kedah khususnya memberikan keutamaan tertinggi dengan mematuhi SOP dalam aktiviti kehidupan.

Menurutnya, rakyat juga perlu mengamalkan penjagaan kesihatan kendiri dengan amalan-amalan norma baharu kehidupan berkualiti.

“Amalkan 3S (Sesak, Sempit, Sembang Dekat) dan 3W (Wash, Wear, Warn),”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.