Jabatan Amal Baling digerakkan bantu mangsa banjir Selangor

Mohd Sabri kiri menyampaikan sumbangan Najmi Ahmad kepada Mohd Yusof yang mewakili JAM Kawasan Baling

BALING– Seramai 10 anggota Jabatan Amal Malaysia (JAM) Kawasan Baling digerakkan ke Hulu Langat Selangor malam ini bagi misi kemanusiaan membantu mangsa banjir.

Komandan JAM Kawasan Baling, Mohd Nazreen Mohd Nasir berkata, misi akan memberi fokus kepada mencuci rumah mangsa banjir.

Menurutnya, mereka bergerak ke sana dengan menaiki tiga buah kenderaan bersama peralatan diperlukan.

Anggota misi akan pulang pada malam Khamis ini.

“Ia dilaksanakan atas dasar tanggungjawab dan seiring dengan arahan dikeluarkan Ketua Pemuda PAS Malaysia dan Pengarah Jabatan Amal Malaysia yang mahukan anggota Amal digerakkan bagi membantu mangsa banjir di Selangor.

“Setakat ini kami diminta memfokuskan bantuan di Hulu Langat Selangor,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Markas JAM Kawasan Baling malam ini.

Mohd Nazreen berkata, anggota JAM Pokok Sena, Pendang dan Kuala Kedah turut berangkat ke lokasi pada malam ini dengan jumlah keseluruhan JAM Kedah dianggarkan seramai 25 orang.

Terdahulu, JAM Kawasan Baling menerima sumbangan tunai daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kupang, Brigadier Jeneral (B) Najmi Ahmad untuk misi berkenaan.

Sumbangan diserahkan Setiausaha Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) DUN Kupang, Mohd Sabri Abu Bakar kepada, Ketua Pemuda PAS Baling, Mohd Yusof Abdul Hamid.

Mohd Nazreen menzahirkan terima kasih kepada Najmi serta ADUN Kuala Ketil, Mejar (B) Mansor Zakaria dan ADUN Bayu, Abd Nasir Idris dan PAS Kawasan Baling yang bersama menghulurkan sumbangan bagi kegunaan anggota sepanjang misi berjalan.

 

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.