Kedah bantu mangsa banjir Selangor RM200,000

Muhammad Sanusi Md Nor

ALOR SETAR– Kerajaan Negeri Kedah menyalurkan RM200,000 sumbangan khas kepada Selangor bagi membantu mangsa banjir .

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman amat bersimpati dan berdukacita dengan musibah banjir besar yang melanda penduduk di Selangor Darul Ehsan dan beberpa negeri lain.

Menurutnya, kesukaran penduduk dan kemusnahan harta benda tentulah lebih besar daripada yang dapat dibayangkan.

“Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri khususnya Negeri Selangor yang paling teruk terjejas pastinya bertungkus-lumus mengerahkan seluruh keupayaan aset dan agensi kerajaan bagi membantu rakyat menghadapi musibah ini.

“Sebagai tanda kebersamaan kami rakyat Kedah dengan seluruh mangsa banjir di Selangor, Kerajaan Negeri Kedah akan menghulurkan sumbangan khas kepada Kerajaan Negeri Selangor sebanyak RM200,000.00 sahaja,”katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Beliau berkata, sumbangan berkenaan akan diuruskan oleh Pejabat Pegawai Kewangan Negeri seberapa segera.

“Semoga bantuan kecil ini dapat membantu rakyat dan kerajaan Negeri Selangor.

Selain sumbangan kerajaan negeri, pihak Khidmat Malaysia Cawangan Kedah juga sedang menggerakkan kutipan sumbangan untuk dibawa ke Selangor bersama aset dan petugas untuk membantu penduduk di sana. Semoga seluruh bantuan yang sedang diusahakan akan membantu mereka menghadapi kesukaran pasca banjir,”katanya.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.