Inovasi akuaponik jamin kelangsungan bekalan makanan

KOTA BHARU – Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Haji Ahmad Amzad telah mengadakan lawatan kerja ke Min House Camp di Kubang Kerian bagi meninjau inovasi sistem tanaman akuaponik oleh Persatuan Sindrom Down Negeri Kelantan (PSDNK) pada 12 Ogos lalu.

PSDNK telah memperkenalkan sistem akuaponik ini kepada beberapa kategori
golongan B40 yang terkesan kerana pandemik COVID-19 termasuk dalam
kalangan golongan Sindrom Down (SD) sebagai usaha menyediakan latihan
kemahiran hidup sekali gus meningkatkan kualiti hidup agar mampu berdikari tanpa bergantung kepada keluarga.

Akuaponik adalah set yang mudah dikendalikan oleh golongan OKU dan juga golongan B40 kumpulan sasar lain kerana ciri-cirinya yang bersih, selamat dan mudah digunakan, selain tidak menggunakan racun perosak dan baja kimia.

Menurut Datuk Haji Ahmad Amzad, apa yang menarik ialah tiada kos diperlukan untuk pembelian baja tanaman kerana air yang dipam dari tangki ikan ke tangki sayuran telah mengandungi tinja ikan yang mempunyai nutrien yang diperlukan oleh sayuran.

“Sistem ini turut menjimatkan penggunaan air kerana sumber air yang digunakan adalah secara pusingan, selain mesra alam.

“Air hujan juga turut boleh dikumpulkan di dalam takung-takung kitar semula untuk digunakan pada sistem ini,”katanya.

Inovasi akuaponik yang diusahakan oleh Puan Wan Noriah Wan Ramli itu
telah menerima pembiayaan dana Inovasi Sosial Malaysia atau MyIS Komuniti menerusi Yayasan Inovasi Sosial (YIM) iaitu agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Penyerahan geran MyIS Komuniti bernilai RM239,000.00 itu telah disampaikan oleh Ahmad Amzad semasa
kunjungan beliau merasmikan Ruang Reka STIE Keluarga Malaysia di Tumpat,
Kelantan baru-baru ini.

Menurut Puan Wan Noriah, inovasi yang dihasilkan bukan sahaja dapat mengeluarkan hasil sayur-sayuran, ulaman dan ikan segar, tetapi juga boleh
menambah pendapatan anak-anak sindrom down.

“Selain itu, bahan-bahan yang digunakan dalam penghasilan inovasi ini adalah daripada bahan terpakai yang mudah didapati dengan kos yang rendah,”katanya.

MOSTI mengalu-alukan kerjasama semua pihak menerusi pelbagai platform untuk bersama-sama memanfaatkan penggunaan teknologi dan inovasi demi
kepentingan Keluarga Malaysia dan seterusnya mendorong pertumbuhan
ekonomi negara.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.