Bukan Mekxico, dekat Malaysia pun dah ada disko bergerak dalam KTMB

Aktiviti maksiat yang dilakukan dalam KTMB

KUALA LUMPUR – Tak pernah dalam sejarah disko bergerak dianjurkan dalam keretapi di Malaysia tetapi kali ini ia benar-benar berlaku.

Lebih malang ia diadakan dalam gerabak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam suasana lelaki dan wanita bergaul bebas di kelab malam.

Aktiviti itu sedang tular di media sosial yang menunjukkan perempuan berpakaian seksi dan lelaki sedang bergelek dan berjoget dalam keretapi sedang bergerak.

Penganjuran Pinkfish Festival yang bertentangan dengan adat dan budaya masyarakat Timur pada 16 Mei lalu itu mengundang kecaman dan kemarahan ramai.

Selain dianjurkan di negara yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi, semua pihak terlibat dalam penganjuran itu seperti tidak menghormati nasib sedang menimpa umat Islam Palestin yang sedang dibunuh beramai-ramai rejim Zionis Israel.

Bahkan tanpa rasa bersalah, Pinkfish Festival masih tidak menurunkan kegiatan aktiviti mereka di Facebook dan di Tiktok.

Menerusi akaun Tiktok Pinkfish Festival, pesta itu diadakan sempena sambutan ulang tahun pertama mereka.

Pesta itu juga disebut sebagai hiburan atas keretapi pertama di Asia Tenggara.

“Beginilah cara kami turun malam tadi untuk sambutan Ulang Tahun Pertama Pinkfish kami,” kata entiti itu di Tiktok dan Facebook rasmi mereka.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata, KTMB merupakan salah satu daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang berada bawah Kementerian Kewangan.

“Kami mencadangkan agar siasatan dilaksanakan oleh Kementerian Kewangan akan punca bagaimana program sebegini boleh diluluskan melihatkan ketidakwajaran aktiviti maksiat sebegini dinormaliasikan menggunakan syarikat berkaitan kerajaan yang mempunyai simbolik begitu penting bagi imej dan maruah negara,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, PAS menggesa agar aktiviti yang melampaui batas dan mencemarkan imej KTMB ini tidak wajar diteruskan.

Menurutnya, imej KTMB serta pengamalan budaya hiburan yang sederhana tanpa dicedok daripada mana-mana negara Barat harus dipertahankan dalam negara Malaysia yang terdiri daripada masyarakat majmuk.

“Kami menegaskan bahawa hiburan bukanlah sesuatu yang dilarang buat rakyat Malaysia dan umat Islam.

“Namun begitu, Islam hadir membawakan garis panduan yang komprehensif dalam mengisi naluri manusia yang berkehendakkan kepada hiburan. Sederhana dalam berhibur adalah kunci kepada kemajuan,”katanya.

 

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.