PAMM desak jalan runtuh daerah Baling dibina segera

Keadaan jalan raya yang runtuh

SUNGAI PETANI– Persatuan Angkatan Masyarakat Melayu (PAMM) Negeri Kedah mendesak pihak berkuasa membaiki segera bahagian jalan raya runtuh di Kampung Sungai Tembak A Baling Kedah demi kemudahan dan keselamatan orang ramai.

Pengerusinya, Datuk Mustaffa Idrus berkata, pihaknya menerima aduan bahawa laluan tersebut masih tidak diperbaiki walaupun runtuh akibat banjir kilat sejak tahun lepas.

“Sampai bila nak tunggu? Setakat nak tutup jalan yang runtuh saja tak mencukupi sebab ia menjadi jalan utama dari Parit Panjang ke Baling.

“Bahkan ia digunakan ramai termasuk kenderaan besar untuk ke Pantai Timur. Sepatutnya isu begini diatasi segera. Tak perlu ada alasan tiada peruntukan dan sebagainya,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata, pengguna terdedah dengan kemalangan apabila berkongsi satu laluan selepas sebelah lorong ditutup.

Kereta, motosikal bukan berselisih sesama sendiri, tetapi adakalanya berselisih dengan lori .

“Keadaan ini dibimbangi mengundang kecelakaan kepada pengguna jalan raya terutamanya waktu malam,”katanya.

Mustaffa berkata, PAMM berharap jalan tersebut segera dibaiki sebelum Aidilfitri akan datang.

“Pada Aidilfitri semestinya lebih ramai pengguna yang menggunakan laluan tersebut.

“PAMM harap tanpa membuang masa, kerajaan negeri dan Persekutuan masing-masing main peranan atasi masalah berlaku,”katanya.

Isu berkenaan sedang tular di media sosial dengan majoriti warga net menuntut kerajaan segera bertindak menyelesaikan masalah tersebut.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.