Hua Zhong putar belit, kerajaaan sahkan tidak akan iktiraf UEC

Pertemuan kedua-dua pihak pada 16 Julai lalu

KUALA LUMPUR– Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak pernah menyebut untuk mengiktiraf sijil Unified Examination Certificate (UEC) sebagaimana didakwa Persekutuan Persatuan Cina Malaysia (Hua Zhong).

Perkara berkenaan disahkan Pejabat Perdana Menteri hari ini.

Isu berkenaan timbul apabila Hua Zong mendakwa Perdana Menteri secara peribadi berharap pada suatu hari nanti kerajaan akan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Kenyataan panas Huazong itu dikeluarkan sebuah portal berita selepas kedua-dua pihak bertemu di bangunan Parlimen pada Khamis lalu.

“Berhubung isu UEC yang dibangkitkan dalam pertemuan pimpinan Hua Zong bersama Perdana Menteri pada 16 Julai, ingin dijelaskan kerajaan tidak pernah mengiktiraf UEC.

“Apa yang disebut Perdana Menteri ialah UEC telah mendapat pengiktirafan sebahagian (partial recognition) apabila kerajaan pada masa lalu telah menerima lepasan UEC untuk mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) dalam bidang pengkhususan Bahasa Cina di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM),” kata kenyataan itu hari ini.

Pejabat Perdana Menteri berkata, kerajaan juga pada tahun 2012 telah menerima lepasan UEC untuk mengikuti program PISMP dalam Bahasa Cina.

“Ia dengan syarat mereka lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan memperolehi sekurang-kurangnya gred kepujian dalam Bahasa Melayu.

“Perdana Menteri juga menegaskan UEC perlu mengikut Dasar Pendidikan Kebangsaan sekiranya mahu dipertimbangkan penyelesaiannya oleh kerajaan pada masa hadapan,” katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.