KUALA LUMPUR -Skuad Harimau Malaya perlu mengambil semangat Garuda Muda bagi dua aksi akhir Pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada bulan depan.
Semangat dan kekuatan mental skuad muda Indonesia layak ke separuh akhir Piala Asia Bawah (B- 23)Tahun di Qatar membuktikan pasukan dari Asia Tenggara mampu pergi jauh.
Pasukan B-23 Indonesia berjaya menundukkan Australia 1-0, Jordan 4-0, serta menewaskan Korea Selatan 11-10 menerusi sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat 2-2 untuk melangkah ke separuh akhir kejohanan Piala Asia B-23.
Keberanian pemain Indonesia mengawal bola, menguasai perlawanan, menekan pihak lawan serta bermain hantaran pendek dalam kawasan kubu lawan sepatutnya dijadikan contoh oleh kem Harimau Malaya dalam memastikan mereka menang baki dua perlawanan terakhir kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 akan datang.
Aspek kawalan bola serta fizikal tubuh yang diberikan penekanan oleh jurulatih Indonesia, Shin Tae-yong telah banyak membawa perubahan dalam corak permainan skuad jiran.
Tidak sekadar berkayakinan tinggi dalam mengawal dan membuat hantaran bola, tetapi aspek fizikal tubuh lebih keras dan berstamina tinggi yang ada pada pemain bola sepak Indonesia telah meninggalkan Malaysia beberapa langkah ke hadapan.
Shin Tae-yong dikenali dengan ketegasan bukan saja dalam melatih di atas padang bahkan beliau amat serius memastikan para pemain Indonesia menjaga diet makanan seperti mana telah disediakan oleh barisan jurulatih.
Di sebalik kecemerlangan Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PSSI) membawa perubahan dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, pengurusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pula masih tenggelam dengan sasaran ‘ke laut” dan cakap kosong.
Antara sasaran terbaru ialah meletakkan sasaran skuad B-23 layak ke Paris, tetapi disebalik sasaran persiapan Malaysia hanyalah bertemu dengan China, India dan Qatar dalam aksi persahabatan.
Kegagalan FAM dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memastikan lebih banyak minit permainan diberikan kepada pemain-pemain muda tempatan juga menjadi penyumbang mengapa sasaran mereka ke laut dalam.
Skuad kebangsaan dan FAM sepatutnya malu dengan aksi longlai ditunjukkan ketika mudah dijinakkan Oman 2-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil sebelum ini.
Walaupun permukaan padang ketika itu tidak berada dalam keadaan terbaik, namun corak Harimau Malaya yang seolah-olah bermain sambil lewa langsung tidak dapat diterima.
Aksi bermain dengan corak ‘gelembung buaya’ perlu dimatikan pada aksi terakhir menentang Krygystan dan Taiwan pada bulan depan dan diganti dengan corak seperti mana skuad muda Indonesia.
Banyak perkara yang perlu FAM belajar dengan PSSI sekiranya mahu melihat masa depan bola sepak negara lebih cerah.
Sekiranya Malaysia mengulangi persembahan sama ketika tewas 2-0 bertemu Oman di Bukit Jalil, bukan saja skuad Negara tidak akan mampu menyaingi pasukan lebih kuat bahkan dengan skuad Garuda Muda pun mungkin Malaysia boleh dibelasah.
RENTAS7
Leave a Reply