Malaysia kecam Israel, nyata solidariti terhadap Palestin

Tindakan pengganas Zionis terhadap rakyat Palestin dikecam masyarakat antarabangsa

KUALA LUMPUR– Malaysia menuntut Israel dipertanggungjawabkan selepas tenteranya melancarkan serangan terhadap rakyat Palestin yang sedang menunaikan ibadah pada malam 26 Ramadan.

Malaysia juga menyifatkan serangan itu sebagai biadap dan zalim.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein berkata, pencerobohan dan serangan tentera penjajah zionis serta pendatang haram yahudi ke atas rakyat Palestin dan para jemaah yang beribadah di Masjid Al-Aqsa kelmarin adalah zalim.

Menurutnya, tindakan itu perlu dikecam sekeras-kerasnya.

“Pencerobohan yang disasarkan terhadap para jemaah yang sedang menunaikan solat di hari-hari terakhir Ramadan merupakan satu bentuk penghinaan terhadap umat Islam dan nilai kemanusiaan.

“Kerajaan Israel mesti dipertanggungjawabkan ke atas pelanggaran hak asasi manusia serta undang-undang antarabangsa ini,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia sentiasa berdiri teguh di belakang pendirian dan perjuangan rakyat Palestin.

“Malaysia sentiasa memberikan sokongan padu kepada rakyat Palestin dan perjuangan mereka dalam mencapai kebebasan mutlak daripada penjajahan haram zionis, ke arah pembentukan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan garis sempadan pra-1967, dengan Baitul Maqdis (East Jerusalem) sebagai ibu kota Palestin,” katanya.

Sekurang-kurangnya 178 rakyat Palestin cedera akibat serangan itu.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.