Hajat keluar memancing, tapi….

KUALA KEDAH-Hasrat empat sahabat keluar memancing bertukar detik mencemaskan apabila bot dinaiki mengalami kerosakan dan terdampar di atas kawasan berbatu di Pulau Tukun Terendak Yan Kedah, semalam.

Dalam kejadian tersebut empat orang pemuda berusia diantara 18 hingga 25 tahun yang berasal dari Pekan Baru Sungai Petani, keluar ke laut.

Mereka menaiki sebuah bot fiber menuju ke pulau tersebut sebelum bot yang dinaiki tiba-tiba mengalami kerosakan pada enjin.

Keadaan bertukar panik akibat cuaca buruk dan bot tersebut dipukul ombak sehingga bot mereka terdampar di atas batuan Pulau tersebut.

Menurut Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Mahmad Faizal bin Ahmad, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.20 petang dan sebuah bot Maritim bersama empat orang anggota segera digerakkan  ke lokasi tersebut.

“Sebaik tiba ke lokasi tersebut, pihak kami mengalami kesukaran kerana kawasan pulau tersebut dikelilingi kawasan berbatu dan menyukarkan misi menyelamat.

Bot dinaiki empat sahabat terdampar di atas batuan pulau

“Pasukan Penyelamat dibantu oleh sebuah bot nelayan yang kebetulan melalui kawasan tersebut,”katanya.

Beliau berkata, empat pemuda itu  berjaya diselamatkan dan didapati tidak mengalami sebarang kecederan.

“Mereka dibawa ke pejabat Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut.

“Maritim Malaysia menyeru orang ramai yang ingin melakukan sebarang aktiviti di laut untuk sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan,”katanya.

Sebarang aduan dan kecemasan di laut boleh dilaporkan melalui talian MERS 999 Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.