Tangkap seekor, empat lagi gajah muncul

BALING- Tidak sampai dua bulan seekor gajah merosakkan tanaman penduduk sekitar Mukim Siong DUN Bayu di sini ditangkap, penduduk kini kembali bimbang dengan kehadiran sekumpulan gajah lain.

Terbaru, empat ekor gajah dikesan berada sekitar kawasan Kampung Batu 8 Weng sejak awal September lalu dan telah merosakkan banyak tanaman penduduk.

Pada 20 Ogos lalu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) berjaya menangkap dan memindahkan seekor gajah dari Hutan Kampung Memali ke Pusat Konservasi Gajah Royal Belum, Perak.

Pemilik kebun Md Shakri Md Piah 59 berkata, lebih 30 pokok dokongnya telah dirosakkan oleh haiwan berkenaan.

Menurutnya, kehadiran haiwan berkenaan mengundang perasaan bimbang penduduk untuk keluar ke kebun.

“Pokok-pokok itu juga telah berusia lebih dari 30 tahun. Kesemuanya dirosakkan oleh gajah-gajah liar itu.

“Kumpulan gajah itu dikesan keluar ke kawasan kampung ini pada waktu malam untuk mencari makan,”katanya.

Kesan tapak kaki gajah

 

Penduduk, Senik Che Teh berkata, 86 merangkap Imam masjid Batu 8 berkata, beliau bimbang lebih banyak tanaman penduduk dirosakkan gajah jika tiada tindakan diambil.

“Saya berharap, masalah ini dapat diberikan perhatian dan tindakan segera,”katanya.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayu, Abd Nasir Idris turun padang menijau kerosakan tamanan penduduk terlibat.

Abd Nasir dari kanan meninjau kebun penduduk yang dirosakkan gajah

Abd Nasir berkata, hasil tinjauan beliau mendapati kira-kira 50 lot kebun penduduk dirosakkan haiwan berkenaan.

“Kebanyakan pokok-pokok buah-buahan menjadi sasaran . Saya lihat ada pokok dokong ditolak oleh gajah-gajah itu,”katanya.

Beliau berkata, difahamkan tiga ekor gajah bergerak dalam kumpulan manakala seekor lagi berasingan.

“Salah satu daripada tiga ekor gajah itu masih lagi anak. Perhilitan telah turun padang .

“Tetapi saya harap, pihak berkenaan dapat terus melakukan kawalan supaya tiada ancaman kepada penduduk,”katanya

Abd Nasir berkata, beliau berharap Jabatan Pertanian Negeri khususnya dapat membantu menyalurkan bantuan kepada pemilik kebun yang mengalami kerugian akibat ancaman haiwan liar tersebut.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.