Istiadat Konvensyen Institute Kraf Negara (IKN) Ke-22

Buat julung kalinya, Istiadat Konvokesyen IKN pada tahun ini menyaksikan tujuh 7 orang penerima Sijil Kemahiran Malaysia melalui Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (SKM-PPT)

RAWANG, NOVEMBER 2024 – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) semalam mengadakan Istiadat Konvokesyen Institut Kraf Negara (IKN) ke-22 bertempat di Dewan Cindai, Institut Kraf Negara.

Istiadat konvokesyen disempurnakan oleh Yang Berbahagia Datuk Wira Roslan Tan Sri Abdul Rahman ,Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Turut hadir, Yang Berbahagia Dato’ Shaharuddin bin Abu Sohot, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Yang Berbahagia Datuk `Ainu Sham binti Haji Ramli, Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia serta Encik Shamsul Azizi bin Samsudin, Pengarah Kanan Institut Kraf Negara.

Pada Istiadat Konvokesyen IKN ke-22 seramai 87 orang graduan IKN dianugerahkan Diploma Seni Kraf (48 orang), Sijil Seni Kraf (4 orang), Sijil Kemahiran Malaysia (26 orang), Sijil Kemahiran Tenun Pahang Diraja (2 orang) dan Sijil Kemahiran Malaysia melalui Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (SKMPPT) (7 Orang).

Kesemua graduan ini adalah daripada Kampus Induk IKN Rawang, Kampus Satelit IKN Sabah dan Sarawak serta Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja Tengku Ampuan Besar Meriam, Pekan Pahang.

Buat julung kalinya, Istiadat Konvokesyen IKN pada tahun ini menyaksikan tujuh 7 orang penerima Sijil Kemahiran Malaysia melalui Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (SKM-PPT). Graduan adalah daripada bidang kraf batik dan bidang kraf seramik. IKN berjaya memperoleh status Pusat Bertauliah PPT yang membolehkan IKN menawarkan SKM-PPT kepada individu berkelayakan berdasarkan pengalaman dan pencapaian dimiliki dalam bidang kraf.

MOTAC menerusi Kraftangan Malaysia komited menggiatkan usaha dalam pembelajaran sepanjang hayat.

Sempena Konvokesyen IKN ke-22, turut diadakan Pesta Konvokesyen pada 21 hingga 23 November 2024 bermula jam 10.00 pagi sehingga 6.00 petang bertempat di Dataran Ilmu, Institut Kraf Negara.

Pelbagai pengisian menarik seperti Jualan Produk Kraf, Demonstrasi Produk Kraf dan Pameran daripada jurusan seperti Jurusan Seni Kraf Batik, Jurusan Seni Kraf Logam, Jurusan Seni Kraf Kayu, Jurusan Seni Kraf Seramik, Jurusan Seni Kraf Tenunan dan Jurusan Seni Kraf Rotan.

Selain itu, pengunjung disediakan dengan aktiviti lawatan berpandu iaitu aktiviti lawatan khusus yang diiringi oleh pegawai pengiring bagi memberikan penerangan berkaitan aktiviti yang sedang berlangsung.

 

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.