Belum waktu sesuai buka sempadan Kedah-Thailand

Datuk Mustaffa Idrus

ALOR SETAR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) Kedah berharap kerajaan tidak tergesa-gesa membuka sempadan darat Kedah-Thailand bagi tujuan pelancongan.

Pengerusi Perhubungan PUTRA Kedah, Datuk Mustaffa Idrus berkata, pembukaan sempadan tidak boleh dibuat tergesa-gesa kerana ia memberikan impak besar kepada kesihatan rakyat Malaysia.

“Ketika ini, telah kedengaran dari laporan media Thailand bahawa negara itu dalam perbincangan untuk membuka sempadan dengan Malaysia pada November khusus kepada mereka yang telah lengkap dua dos.

“Jika perkara ini benar, PUTRA berharap dan menuntut supaya sempadan tidak dibuka sewenang-wenangnya apatah lagi bagi tujuan pelancongan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Difahamkan, Thailand sedang merangka membuka sempadan dengan Malaysia.

Namun, kerajaan Malaysia dijangka tidak membuka sempadan dalam masa terdekat ekoran penularan wabak COVID-19 yang masih tinggi.

Mustaffa berkata, pembukaan sempadan hanya akan menguntungkan Thailand.

“Jika sempadan dibuka bagi pelancongan, bukan rakyat Thailand yang nak melancong ke Malaysia, tetapi rakyat Malaysia yang mahu melancong ke sana.

“Perkara ini merugikan Malaysia dalam soal ekonomi dan menguntungkan Thailand.

“Jika PUTRA mempunyai kedudukan dalam kerajaan kami akan utamakan nyawa rakyat Malaysia dan berharap kerajaan sedia ada selari dengan kebimbangan kami,” katanya.

Mustaffa berkata, sempadan boleh dibuka ltetapi biarlah hanya kepada mereka yang mempunyai talian keluarga khas kepada pasangan rakyat Malaysia- Thailand yang berkahwin sahaja atau kepada sektor ekonomi penting sahaja.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.