Bersatu Baling sumbang untuk Tabung Aid4Palestine, kutuk kezaliman Zionis

Mohd Taufik menyampaikan sumbangan kepada Hassan Saad dua dari kiri, turut bersama AJK kedua-dua parti

BALING– Pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Kedah menunjukkan solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin dengan menyalurkan bantuan kepada Tabung Aid4Palestine.

Sumbangan berjumlah RM 7,000 disampaikan Ahli Majlis Pimpinan Bersatu Malaysia, Mohd Taufik Yaacob kepada Yang Dipertua PAS Baling, Hassan Saad di Kompleks PAS Baling baru-baru ini.

Mohd Taufik yang juga Timbalan Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Negeri merangkap Ketua Bahagian Bersatu Baling menjelaskan RM5,000 adalah dari syarikatnya manakala selebihnya sumbangan peribadinya.

Beliau berkata, Bersatu Kedah mengecam sekeras-kerasnya tindakan Yahudi Zionis melakukan kezaliman kepada umat Islam Palestin.

Menurutnya, sikap Yahudi Zionis yang membunuh orang awam jelas satu tindakan jenayah yang perlu diheret ke muka pengadilan.

Tegasnya lagi, penindasan Zionis terhadap umat Islam Palestin akan berterusan sekiranya dunia Islam terus membisu.

Turut hadir pada sesi penyerahan sumbangan adalah ahli jawatankuasa (AJK) Pas Kawasan Baling dan AJK Bersatu Baling.

Sumber: Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.