LZNK kesal dituduh abai bantuan

ALOR SETAR– Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) kesal dituduh mengabaikan bantuan kepada warga emas oleh seorang pengguna Facebook.

Menerusi posting yang tular, wanita tersebut mendakwa ibunya tidak menerima bantuan walaupun telah bertahun-tahun memohon.

Menjawab tuduhan itu, LZNK dalam satu kenyataan terbuka hari ini berkata, pihaknya sedih dengan tuduhan tidak berasas itu.

Menurutnya, hasil semakan mendapati warga emas tersebut menerima bantuan LZNK sejak 2015 hingga 2017.

“Bantuan tersebut ialah baikpulih rumah LZNK pada tahun 2015 sebanyak RM19,853.00, bantuan hari raya aidilfitri pada tahun 2016 sebanyak RM600.00 serta bantuan rawatan pada tahun 2017 sebanyak RM600.00,”katanya.

Dakwaan dibuat wanita tersebut

LZNK berkata, lebih menyedihkan apabila posting tersebut juga mendapat cacian dan makian daripada netizen lain tanpa usul periksa.

“Untuk makluman, Lembaga Zakat Negeri Kedah telah melantik penolong amil di seluruh 576 buah masjid seluruh negeri Kedah bagi membantu dan memudahkan carian asnaf-asnaf yang tercicir dan memerlukan bantuan.

“Senarai penerima bantuan tersebut kemudiannya akan ditampal di papan kenyataan masjid untuk tatapan dan makluman semua anak kariah,”katanya.

Tambah kenyataan itu, LZNK juga telah menubuhkan Pusat Bekalan Makanan Fakir Miskin (Food Bank) di setiap masjid di seluruh Negeri Kedah.

“Ia menelan kos RM10.5 Juta setahun dengan harapan untuk memastikan tiada lagi rakyat Kedah yang terputus bekalan makanan atau kelaparan.

“Siasat dahulu sebelum sebar. Fikir dahulu sebelum tohmah. Pihak LZNK sentiasa terbuka menerima sebarang cadangan dan teguran yang membina bagi meningkatkan lagi keberkesanan agihan dan kutipan bagi membantu dan membangunkan asnaf di Negeri Kedah,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.