Jangan sentuh Laut China Selatan- Malaysia

Hishammuddin ketika berbincang dengan rakan sejawatannya dalam sidang video siang tadi

KUALA LUMPUR– Malaysia menyatakan ketegasan bahawa Laut China Selatan perlu bebas daripada sebarang provokasi oleh mana-mana pihak.

Perkara itu dinyatakan
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein Onn dalam sidang video dengan rakan sejawatannya dari China, Jeneral Wei Fenghe, siang tadi.

“Kami turut menyentuh mengenai Laut China Selatan yang menyatakan pendirian tegas Malaysia bahawa semua pihak mesti menghindari sebarang tindakan ketenteraan yang dianggap provokatif, selain berpotensi meningkatkan ketegangan serta mencetuskan konflik.

“Malaysia konsisten bahawa Laut China Selatan mesti kekal sebagai perairan yang bebas dan selamat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, menerusi sidang video itu, mereka juga saling berkongsi komitmen untuk memperkukuh kerjasama Malaysia dan China bagi memerangi COVID19 serta kerjasama pertahanan dua hala antara kedua-dua negara.

Utusan Online semalam melaporkan China bertindak menceroboh perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia.

Pencerobohan terbaru itu dibuat semalam, tidak sampai 24 jam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melakukan latihan bersama Amerika Syarikat.

 

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.