Belanjawan 2021 tidak pinggirkan agenda perpaduan

PUTRAJAYA- Belanjawan 2021 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, YB Senator Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 6 November 2020 di Parlimen merupakan belanjawan yang inklusif, prihatin dan cakna rakyat, khususnya golongan yang sangat terkesan akibat pandemik COVID-19.

Menteri Perpaduan, Datuk Wira Halimah Mohamed Sadique (gambar) berkata, dengan tema Belanjawan 2021:Teguh Kita, Menang Bersama, agenda perpaduan juga tidak dipinggirkan.

Menurutnya, pada kali ini penekanan diberi kepada peranan komuniti setempat sebagai agen dan penggerak usaha-usaha penyatupaduan rakyat berbilang bangsa, agama dan budaya.

“Belanjawan 2021 telah memperuntukkan RM50 juta kepada Kawasan Rukun Tetangga (KRT) yang merupakan jentera perpaduan di bawah Kementerian Perpaduan Negara (KPN) di mana lebih 8,000 KRT sedia ada di seluruh Negara akan menerima manfaat.

“KPN akan memastikan KRT terus berperanan sebagai kepimpinan komuniti yang berteraskan kepada konsep kejiranan dan semangat kesukarelaan,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia ataupun lebih dikenali sebagai MITRA juga turut menerima dana sebanyak RM100 juta bagi membantu menaik taraf sosioekonomi masyarakat India di Malaysia.

“Melalui dana ini, KPN akan terus mempergiatkan usaha membantu
masyarakat India di Negara ini khususnya kumpulan B40 melalui pelbagai program di bawah tiga bidang utama iaitu pembangunan modal insan, keusahawanan dan kesejahteraan sosial.

“Kementerian Perpaduan Negara akan terus komited dalam usaha merealisasikan Agenda Perpaduan Nasional,”katanya.

Beliau berkata, Kementerian Perpaduan Negaraditubuhkan sebagai hasil perpecahan portfolio perpaduan negara daripada Jabatan Perdana Menteri.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.