PAMM sokong Sanusi hapus judi dan hadkan jualan arak

Datuk Mustaffa Idrus

SUNGAI PETANI-Persatuan Angkatan Masyarakat Melayu Negeri Kedah (PAMM) menyokong penuh keputusan Kerajaan Negeri Kedah menghapuskan judi dan menghadkan jualan arak.

Pengurusinya, Datuk Mustaffa Idrus berkata, langkah diambil kerajaan negeri Kedah wajar disokong penuh semua pihak khususnya umat Islam.

“Langkah diambil Kedah dibawah Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor amat baik da terpuji.

“PAMM merasa bangga dengan keputusan ini dan kami tuntut usaha dibuat Kedah dicontohi semua negeri lain,”katanya kepada pemberita hari ini katanya.

Beliau berkata, arak dan judi sudah terang-terangan diharamkan dalam al-Quran dan sudah pasti Kedah akan mendapat rahmat dan berkat dengan usaha murni yang diambil.

“Insya Allah, negeri ini akan berada dalam rahmat dan kasih sayang Allah dan dipelihara-Nya selalu.

“Sebagai umat Islam inilah sandaran kita. Yakinlah bahawa Allah bersama-sama dengan orang yang menegakkan ajaran agamanya,”katanya.

Mustaffa berkata, PAMM sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang bernaung di Kedah berdiri teguh di belakang Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi.

“Kami berdiri teguh di belakang beliau. Jika pemimpin DAP tak setuju dengan apa dilakukan Kedah dan mahu halang apa dilakukan negeri ini, kami antara yang pertama akan berada di depan.

“Rakyat juga bersama kerajaan negeri. Kepada yang bukan beragama Islam, kami mohon tolong hormati keputusan pemimpin negeri ini.

“Jangan cuba-cuba sedikit pun nak halang. Kami orang Melayu pantang jika agama kami dicabar,”katanya.

Sanusi sebelum ini mengumumkan Kedah tidak akan memperbaharui sebarang lesen perjudian di seluruh negeri ini manakala jualan arak hanya akan dibenarkan kepada bukan Islam termasuk menghadkan jualannya.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.