Bantu peniaga bazar Ramadan terjejas

Mustaffa Idrus

SUNGAI PETANI– Peniaga yang tidak dapat berniaga di bazar Ramadan di negeri ini wajar dibantu agensi berwajib dalam memasarkan jualan mereka.

Pengerusi Persatuan Angkatan Melayu Negeri Kedah (PAMM), Datuk Mustaffa Idrus berkata, agensi berwajib disaran tidak lepas tangan membantu peniaga ekoran keputusan kerajaan negeri untuk batalkan bazar Ramadan tahun ini.

“Peniaga sudah terjejas ekoran wabak COVID-19, pendapatan mereka semakin terjejas apabila tidak dapat berniaga di bazar.

“PAMM memuji tindakan kerajaan membatalkan bazar bagi menyekat rantaian jangkitan COVID-19, namun dalam masa sama berharap peniaga tidak dibiarkan terkapai-kapai,”katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, PAMM mencadangkan majlis daerah menyediakan platform khas memasarkan jualan peniaga walaupun bazar Ramadan tidak diadakan.

“Di PAMM, kami mencadangkan majlis daerah membenarkan peniaga di hadapan rumah masing-masing,”katanya.

Mustafa berkata, PAMM juga mencadangkan kawasan pekarangan surau atau masjid di kawasan yang mempunyai majoriti penduduk dijadikan sebagai pusat hentian membeli juadah berbuka puasa.

Menjelas lanjut idea itu, Mustaffa berkata, perkara itu memerlukan pemantauan daripada pihak berkuasa.

“Anggota penguatkuasa majlis perlu diletak bagi mengawal keadaan. Dalam konteks ini, hanya suara atau masjid dipilih dibenarkan sebagai kawasan pusat hentian.

“Di samping itu pihak berkuasa perlu meletakan syarat-syarat tertentu iaitu berapa ramai peniaga dibenarkan berniaga dan berapa ramai pelanggan dibenarkan berurus niaga dalam satu-satu masa,”katanya.

Tambahnya, kaedah itu bagi PAMM dapat mengelakan orang ramai berkumpul seperti di bazar selain meminimumkan kerugian ditanggung peniaga.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.