Pondok Kejai ke arah lahirkan ulama profesional

ALOR SETAR– Pondok Tafaqquh Fiddin Kejai, dan Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) menjalinkan kerjasama bagi program Pondok Mahasiswa Li Tafaqquh Fiddin.

Mudir Pondok Tafaqquh Fiddin Kejai, Ahmad Marzuki Md Yusof berkata, program pertama di negara ini ialah platform membendung ancaman fahaman songsang seperti Syiah dan Wahabi

Menurutnya, program berkenaan adalah cetusan idea guru pondok, Syeikh Fahmi Zam Zam dan beberapa guru pondok lain.

“Tujuannya ialah bagi membendung gejala dan fahaman songsang kerana penuntut-penuntut universiti suka kepada benda baru.

“Bila nampak satu fahaman atau ideologi itu seronok mereka akan ikut tanpa mengikut fahaman Islam sebenar. Di Kedah kita ramai ulama, jadi kita manfaatkan mereka dengan universiti,”katanya.

Terdahulu, UniSHAMS dan Pondok Tafaqquh Fiddin menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di Bilik Mesyuarat Pertama Aras 3 Bangunan Censolori UniSHAMS.

Majlis tandatangan sedang berlangsung. Ahmad Marzuki (depan berjubah)

Ahmad Marzuki berkata, projek pertama itu hanya melibatkan 30 penuntut lelaki UniSHAMS dalam bidang pengajian Islam .

Menurutnya, program itu memberikan peluang kepada mahasiswa menuntut ilmu bersama ulama selain hidup dalam suasana sebenar pondok.

“Bermula Jumaat depan mereka akan mengikuti pengajian pondok setiap hari .Siang mereka di universiti, malam mereka di Pondok Tafaqquh Fiddin,”katanya.

Beliau berkata, program itu akan diperluaskan di universiti lain dan akan dibuka kepada pelbagai kos selain pengajian Islam.

“Harapan kita akan lahir alim ulama yang dalam masa sama pakar dalam bidang perubatan, arkitek dan sebagainya. Program ini salah satu usaha memondokkan universiti bagi mengulamakan profesional,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.