Robot MCK19 bantu barisan hadapan negara hadapi COVID-19

Robot MCK19

PUTRAJAYA– Sinergi kerjasama strategik antara Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Malaysian Technology Development Corporation (MTDC), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM) dan DF Automation & Robotics Sdn Bhd (DF) telah berjaya menghasilkan sebuah robot berautonomi (autonomous robot) yang diberi nama MCK19.

Kerjasama yang buat julung kalinya ini merupakan inisiatif MOSTI untuk menghubungkan kepakaran dan menggerakkan kerjasama antara
Kementerian dengan pihak akademia dan industri selepas Perintah
Kawalan Pergerakan Fasa Pertama diumumkan oleh Kerajaan Malaysia
pada 18 Mac 2020 yang lalu.

MTDC, sebuah agensi di bawah MOSTI telah diberi kepercayaan untuk mengetuai pelaksanaan projek rintis melibatkan aplikasi teknologi khususnya dalam bidang robotik – penyelesaian robot berautonomi Autonomous Robotic Solutions) bagi membantu mengawal penularan wabak COVID-19 khususnya di hospital.

Ini adalah selaras dengan peranan MTDC sebagai penyedia perkhidmatan teknologi serta mempunyai jaringan hubungan yang kukuh dengan pihak kementerian, akademia dan industri.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin telah berpeluang menyaksikan demonstrasi robot MCK19 pada Jumaat lalu dalam satu sesi webinar.

Khairy juga melihat pembentangan video montaj MCK19 yang menerangkan informasi berkenaan fungsi dan kebolehan robot MCK 19 ini.

Demonstrasi yang diadakan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) telah dijayakan oleh Dr. Yeong Che Fai, Pengasas DF, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Pengarah HCTM dan YBhg. Prof Datuk Dr. A Rahman A Jamal, Pro Naib Canselor UKM Kampus Kuala Lumpur.

Turut menyaksikan demonstrasi atas talian ini adalah YBhg. Datuk Ir. Dr.Siti Hamisah Tapsir, Ketua Setiausaha MOSTI, YBhg. Dato’ NorhalimYunus, Ketua Eksekutif MTDC, YBhg.Prof. Datuk Ir. Dr Wahid Omar, Naib Canselor UTM dan YBhg. Prof. Dato’ Ir. Dr. Mohd Hamdi Abd Shukor,Naib Canselor UKM.

Mengambil masa kurang daripada dua minggu, kerjasama ini telah berjaya menghasilkan sebuah prototaip robot MCK19 yang merupakan sebuah Sistem Robot Penghantaran bagi kegunaan harian hospital untuk membantu petugas barisan hadapan menjalankan urusan penghantaran dan perkhidmatan kepada pesakit dalam siasatan (PUI) COVID-19 di hospital.

Khairy berkata, MCK19 menggunakan Zalpha, sebuah robot komersial ciptaan syarikat tempatan DF yang boleh menampung muatan sehingga 300 kg menggunakan rak yang tersedia dan boleh dinavigasi secara bebas untuk membantu doktor atau jururawat dalam penghantaran makanan atau ubat-ubatan ke bilik pesakit yang berada dalam pemantauan (PUI) COVID-19 di hospital.

“Robot ini mengaplikasikan teknologi Internet of Things (IoT) yang boleh
diakses oleh mana-mana komputer, tablet atau telefon pintar.

“Skrin LCD yang terdapat pada robot tersebut dalam sedikit masa lagi akan mampu diguna pakai untuk ‘teleconference’ antara doktor dan pesakit dari bilik
atau pejabat.

“Sokongan semua pihak iaitu MOSTI, MITI, KKM, MTDC, UTM, DF amat
penting khususnya dalam berkongsi kepakaran dan pengalaman masing-masing bagi menyediakan langkah penyelesaian yang tepat dan
berkesan dalam masa yang singkat melibatkan permohonan kelulusan,
bantuan dana, khidmat nasihat serta jaringan hubungan”, katanya.

Ketua Eksekutif MTDC, Dato’ Norhalim Yunus berkata, melalui pengalaman, kepakaran dan jaringan hubungan luas MTDC, pihaknya akan terus memberikan sokongan kepada syarikat di dalam ekosistem MTDC serta syarikat tempatan yang berasaskan teknologi untuk berdepan dengan arus Revolusi Perindustrian Keempat.

“COVID-19 telah memberi
peluang kepada syarikat tempatan untuk menghasilkan inovasi dan
teknologi baharu menggunakan kepakaran yang sedia ada bagi
membendung pandemik yang kian menular ini.” katanya.

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.