KPDN Laksana Inisiatif Baharu Advokasi Biz-Berkat

MELAKA-Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dan Pengurusan Tertinggi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama KPDN Melaka turun padang dalam Sesi Advokasi Berniaga Patuh Kod Etika dan Perundangan (Biz-BERKAT) di sekitar Jonker Walk, Melaka hari ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, YB Datuk Armizan Mohd Ali berkata, antara objektif Sesi Advokasi Biz-BERKAT ini adalah untuk meningkatkan

kesedaran dan komitmen di kalangan para peniaga untuk mematuhi kod etika, peraturan dan undang-undang perniagaan.

Menurutnya, ia termasuk pematuhan kepada Akta Perihal Dagangan 2011 seperti larangan untuk memberikan maklumat dan perihal dagangan palsu ke atas barang-barang, harga dan perkhidmatan termasuk berkaitan pensijilan halal.

 “Pada masa yang sama, tanggungjawab untuk mempamerkan tanda harga dan larangan untuk mencatut harga iaitu menaikkan harga pada kadar margin yang tidak munasabah di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

“Begitu juga peraturan berhubung penggunaan alat timbang dan sukat yang telah ditentusahkan di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972,”katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, sesi Advokasi Biz-BERKAT merupakan inisiatif baharu KPDN bagi tahun 2024 di bawah teras strategi Ketangkasan Penguatkuasaan.

“Inisiatif ini juga bertujuan untuk memastikan aktiviti penguatkuasaan perlu hadir bersama aktiviti advokasi pematuhan kod etika dan perundangan.

“Walkabout Advokasi Biz-BERKAT dilaksanakan tahun ini bermula dengan negeri Melaka bersesuaian dengan Tahun Melawat Melaka 2024.

“Ini penting untuk memastikan para peniaga di negeri ini memahami kepentingan mematuhi kod etika perundangan perniagaan sebagai faktor tarikan kepada para pelawat dan pelancong sekali gus melonjakkan imej negeri dan negara.

“Malaysia kini menduduki tangga ke-12 di seluruh dunia dalam senarai negara yang paling banyak dilawati pada tahun 2023,”katanya.

Katanya, kepatuhan kepada amalan aktiviti jual beli yang beretika akan dapat membantu melonjakkan ekonomi perdagangan domestik dan sekali gus memberi manfaat kepada para peniaga dalam merancakkan industri pelancongan.

Justeru katanya, bagi tujuan Tahun Melawat Melaka 2024. KPDN Negeri Melaka akan meningkatkan lagi sesi advokasi Biz-BERKAT, aktiviti pemeriksaan dan penguatkuasaan di kawasan-kawasan tumpuan tarikan pelancong.

 

RENTAS7

 

 

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.