ATM patahkan cubaan 17 Pati masuk Malaysia

Kesemua PATI berkenaan ditahan ATM malam tadi.

KOTA TINGGI– Cubaan17 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia masuk ke negara ini secara haram dipatahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), malam tadi.

Mereka ditahan di Pantai Teluk Pungai, Kota Tinggi dalam sektor Op Benteng Infantri Malaysia (7 Briged) oleh Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen).

Sel Perhubungan Raya, Divisyen Ketiga Infantri Malaysia berkata, dalam operasi itu, Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) berjaya mengesan pergerakan sebuah bot.

Menurutnya, ia bergerak dalam keadaan mencurigakan dari arah Pulau Batan ke perairan Malaysia.

“Hasil maklumat tersebut, Tim Quick Reaction Force (QRF) dengan kerjasama anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cawangan Khas serta tim Dron Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) telah diatur gerak untuk mengepung kawasan sekitar Batu Layar, Teluk Punggai dan Tanjung Penyusup, Kota Tinggi, Johor,”kata kenyataan itu hari ini.

Kenyataan berkata, hasil serbuan dan penjejakan yang dilakukan telah membawa kepada penangkapan 17 orang PATI yang terdiri daripada 13 lelaki dan 4 wanita warga Indonesia berusia 24 hingga 48 tahun yang dipercayai baru tiba ke negara ini.

“Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM 25,262.14 melibatkan wang tunai pelbagai jenis Matawang, beberapa utas jam tangan, barangan kemas serta telefon bimbit.

“Kesemua PATI ditahan telah dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan dan saringan COVID-19 sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan selanjutnya,”katanya.

Kenyataan berkata, ATM akan terus komited menjaga keselamatan dan kedaulatan sempadan negara dari sebarang bentuk pencerobohan oleh PATI ataupun jenayah rentas sempadan lain.

Tambah kenyataan, saki baki PATI di sekitar kawasan berkenaan juga akan dijejak.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.