Daerah Baling ada kaitan dengan Raja Bersiong? ini jawapan pakar sejarah

KISAH Lagenda Raja Bersiong yang mempunyai nafsu makan luar biasa apabila gemar menikmati darah rakyatnya sebagai bahan hidangan dikaitkan dengan wujudnya nama daerah Baling, Kedah.

Raja Bersiong atau namanya Ong Maha Perita Deria merupakan pemimpin yang digambarkan dalam Hikayat Merong Mahawangsa sebagai pemimpin kejam dan zalim.

Penasihat Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK), Datuk Wira Dr Wan Shamsudin Mohd Yusof berkata, kewujudan nama daerah Baling itu dikaitkan masyarakat lama dengan kisah pelarian Raja Bersiong yang melarikan diri dari istana kerana dikepung oleh menteri, pemaisurinya dan rakyat.

Asal-usul nama tempat dikaitkan Raja Bersiong

Menurutnya, nama-nama tempat yang dipercayai masyarakat lama berasal dari sejarah Raja Bersiong bermula dengan Kuala Ketil terlebih dahulu.

“ Kuala Ketil berasal daripada “kutil” atau cabut kerana baginda cuba mencabut gigi siongnya yang sakit ketika sedang melarikan diri.

“Kemudian dikatakan baginda melarikan diri ke kawasan lain dan sambil berlari tangannya masih memegang gigi tersebut, lalu tempat itu dinamakan Kuala Pegang,”katanya.

Wan Shamsudin berkata, nama Pulai iaitu salah satu kawasan dalam daerah ini juga dikatakan berasal dari perkataan pulas.

“Tiba di tempat itu  baginda sekali cuba untuk menanggalkan giginya yang sakit itu dan dipulas siungnya sehingga tercabut.

“Kemudian Raja Bersiong dikatakan membaling siungnya itu sehingga lahirnya nama Baling bagi daerah ini,”katanya.

Wan Shamsudin

Weng, Bukit Sebelah dan Siong

Jelasnya, nama tiga lagi tempat iaitu Weng, Bukit Sebelah dan Siong  turut dianggap berkait rapat dengan kisah raja tersebut.

“Nama kawasan Weng dikatakan diambil dari bunyi deras yang terbit dari bahana siung yang dibalingnya.

“Begitu juga dengan nama Bukit Sebelah, sebuah bukit di sempadan antara Daerah Sik dan Baling. Kononnya bukit itu runtuh sebelah apabila gigi itu melantun dan mengenainya.

“Nama kawasan Siong pula diambil dari tempat kononnya gigi siong itu jatuh,”katanya.

Wan Shamsudin berkata, pengaruh kisah Raja Bersiong sebenarnya diambil dari Hikayat Merong Mahawangsa sehingga ia dikaitkan masyarakat terdahulu dengan nama-nama tempat di Baling.

Menurutnya, nama-nama yang dikatakan diambil dari kisah Raja Bersiong tiada kena mengena dengan catatan sejarah, namun begitu dipercayai oleh masyarakat terdahulu.

Raja Bersiong hanyalah mitos

“Sepatutnya perkara-perkara macam ini tidak perlu disebarkan kerana ia hanya lebih kepada mitos dan lagenda sahaja ,”kata Wan Shamsudin.

Menurutnya, kitab lama berbahasa jawi  itu banyak dimiliki oleh generasi lama terdahulu dan sumbernya disampaikan pula dalam bentuk lisan.

“Faktor kedua pula apa yang menyebabkan rakyat semakin percaya kerana kisah itu pernah diterbitkan dalam bentuk filem atas usaha Perdana Menteri Pertama ketika itu iaitu Tunku Abdul Rahman.

“Niat Tunku Abdul Rahman bukanlah kerana mahu rakyat percaya terhadap kisah itu, tetapi sebaliknya hanya kerana hiburan rakyat semata-mata,”katanya.

Wan Shamsudin berkata, sumber dalam Hikayat Merong Mahawangsa ada maklumat yang berunsurkan sejarah, namun selebihnya ia banyak berunsurkan mitos dan lagenda.

Nama Pulai kononnya berasal daripada perkataan pulas

Implikasi kepercayaan kepada mitos

Katanya lagi, kesan kepercayaan masayarakat kepada kisah mitos itu, orang-orang lama juga mempercayai setiap batu-batu bangunan lama yang terbiar dan batu nisan di sesebuah kubur yang tidak dikenal pasti milik Raja Bersiong.

Jelasnya lagi, nama Pulai dan Baling yang kononnya berasal daripada pulas dan dikaitkan dengan kisah raja tersebut juga tidak benar sama sekali.

“Nama Pulai sebenarnya berasal daripada nama sejenis pokok, dan nama Baling itu sendiri berasal dari perkataan Siam.

“ “Ban” dalam bahasa Siam beerti Kampung dan “Ling” itu beerti kera, nama-nama dalam bahasa Siam ini wujud kerana pengaruh Siam di Kedah suatu ketika dahulu,”katanya.

Menurutnya, nama tempat iaitu Siong dalam daerah ini juga sebenarnya hanyalah kebetulan.

Rentas7.com

 

 

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.