Safawi tersenarai menentang FC Porto

KUALA LUMPUR-Penyerang prolifik skuad kebangsaan, Safawi Rashid (gambar) dilaporkan tersenarai dalam skuad Portimonense SC menentang FC Porto pada awal pagi esok (1.30 pagi Isnin waktu Malaysia).

Memetik Utusan Malaysia, perkembangan terbaru itu disahkan pemain berusia 23 tahun itu menerusi aplikasi WhatsApp.

Safawi berkata, dia menyerahkan keputusan jurulatih sama ada menurunkannya atau tidak.

“Sudah tentu saya terharu, perasaan amat gembira dapat menyertai pasukan utama menentang FC Porto. Insya Allah saya Akan bagi yang terbaik jika diturunkan,”katanya seperti dilaporkan malam ini.

Jika diturunkan, ia perlawanan pertama Safawi dalam Liga Primeira. Safawi sebelum ini diturunkan dalam skuad B-23 pasukannya.

Safawi mula menjejakkan kaki ke Portugal pada 3 Oktober lalu selepas dipilih menyertai Portimonense SC selama semusim secara pinjaman.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.