PRK Tanjung Piai: Rakyat sokong penyatuan ummah- Hadi Awang

KUALA LUMPUR– Kemenangan BN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai membuktikan sokongan rakyat kepada penyatuan ummah.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, keputusan PRK Tanjung Piai mengukuhkan kerjasama blok pembangkang.

“Kemenangan ini menunjukkan penerimaan rakyat bermasyarakat majmuk terhadap agenda penyatuan ummah.

“Seterusnya mengorak langkah bagi mengukuhkan kerjasama dan integrasi yang lebih erat di peringkat nasional,”katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Beliau berkata, kekalahan PH pada PRK ini menjadi isyarat penolakan rakyat terhadap kegagalan PH membela kebajikan rakyat dan janji manifesto yang tidak tertunai.

“Di samping petanda rakyat menolak budaya politik ekstrem dan fitnah melampau,”katanya.

Beliau berkata, komitmen para ahli dan petugas PAS serta pengundi bagi membantu kemenangan calon pembangkang amat dihargai.

“PAS merakamkan setinggi penghargaan kepada para ahli dan petugas PAS yang membantu dalam kempen PRK ini dengan penuh kepatuhan dan juga menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada hari ini.

“Kepada Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, marilah kita bersama membela kebajikan rakyat dan mengukuhkan agenda perpaduan nasional dengan sebaiknya di Parlimen,”katanya.

Calon Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng muncul pemenang PRK Parlimen Tanjung Piai dengan majoriti besar iaitu 15,086 undi menewaskan lima calon lain.

Jeck Seng memperolehi 25,466 undi daripada 128 peti undi.

Pesaing terdekatnya, calon PH Karmaine Sardini pula mendapat 10,380 undi.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.