Laporan: Ilyas Salleh
KUALA KETIL -Semangat gotong-royong terus disemarakkan apabila Muslimat Kampung Tembak B menganjurkan Program Memasak Bubur Asyura yang berlangsung di Surau Al-Barakah, Kampung Tembak B, semalam.
Program tersebut mendapat kerjasama pelbagai pihak termasuk komuniti setempat yang berganding bahu menyiapkan sebanyak dua kawah bubur Asyura untuk diagihkan kepada masyarakat.

Selain menikmati juadah bubur Asyura yang turut dicampurkan dengan durian, para peserta turut diraikan dengan jamuan makan tengah hari berupa gulai ikan masin campur terung bersama ulam-ulaman kampung.
Semua agihan bubur Asyura berjaya disempurnakan dan diedarkan kepada penduduk setempat.
Hidangan tradisi yang disediakan secara bergotong-royong itu sentiasa dinanti-nantikan oleh masyarakat setiap tahun kerana keenakan rasanya.

Sebagai tanda penghargaan kepada petugas keselamatan, sebanyak 10 kotak bubur Asyura turut diagihkan kepada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sedang bertugas.

Penganjuran program ini bukan sahaja menghidupkan tradisi memasak bubur Asyura, malah menjadi medan mengeratkan ukhuwah, memupuk semangat kerjasama dan menyemai nilai kebersamaan dalam kalangan masyarakat setempat.
RENTAS7








Leave a Reply