ADUN “tegur” pihak surau, kedai makan longgarkan SOP

ALOR SETAR– Kedai makan dan surau di Kedah digesa segera mengetatkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengawal penularan wabak COVID-19.

ADUN Kupang, Brigadier Jeneral (B) Datuk Najmi Ahmad (gambar) berkata, daripada laporan yang diterima, terdapat kedai makan termasuk surau di DUN Kupang kurang menitikberatkan SOP.

“Saya difahamkan, sejak-sejak ini ada surau dan kedai makan di kawasan Kupang tidak meletakkan alat pengimbas suhu kepada jemaah dan pelanggan.

“Saya harap perkara ini diatasi segera kerana negara ini belum pulih sepenuhnya daripada wabak COVID-19,” katanya ketika dihubungi Rentas7.com hari ini.

Beliau yang juga Exco Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia Kedah menuntut semua pihak tidak mengambil mudah soal keselamatan diri terutama dalam suasana wabak yang belum berakhir.

Kelmarin, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Perutusan Khas Perdana Menteri melahirkan kebimbangan dengan sikap rakyat Malaysia yang kurang mematuhi SOP.

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.