JAS jawab isu pencemaran liputan TV3

Keadaan Parit Di Belakang Sekolah Rendah Agama (Gambar Lama vs Gambar

PUTRAJAYA – Jabatan Alam Sekitar (JAS) ingin merujuk kepada isu pencemaran air berwarna hitam dan berbau yang didakwa oleh penduduk Taman Bakti, Sungai Manggis, Banting dan Persatuan Tindakan Alam Sekitar Kuala Langat yang telah disiarkan menerusi liputan Buletin Utama TV3 pada hari Ahad 18 Oktober 2020.

Laporan tersebut turut mengaitkan sebuah kilang memproses kertas terpakai di Mahkota Industrial Park, Banting Selangor yang disyaki melepaskan air berwarna hitam dan berbau (dikatakan sebagai sisa industri) ke sebuah kolam takungan banjir berdekatan dan seterusnya ke Sungai Langat.

Ketua Pengarah Alam Sekitar Putrajaya Norlin Jaafar berkata, semenjak aduan ini ditimbulkan terutama melalui media sosial, beberapa siri siasatan penguatkuasaan ke atas kilang terlibat telah dilaksanakan oleh JAS Negeri Selangor iaitu pada 14 Ogos 2020, 18 September 2020, 28 September 2020 dan 17 Oktober 2020.

“Ini termasuklah penguatkuasaan bersepadu bersama agensi-agensi yang terlibat seperti Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Langat (PDTKL) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pada 28 Ogos 2020,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Berikut adalah penjelasan JAS ke atas perkara-perkara yang ditimbulkan oleh penduduk dan Persatuan Tindakan Alam Sekitar Kuala Langat iaitu:

Penjelasan 1: Sisa Kilang Berwarna Hitam dan Berbau Dilepaskan Ke Kolam Takungan Banjir Dan Ke Sungai Langat .

(i) Efluen perindustrian daripada kilang memproses kertas terpakai dirawat di dalam Sistem Pengolahan Efluen Perindustrian (SPEP) dan sampel efluen yang diambil oleh JAS pada 17 Oktober 2020 adalah jernih dan tidak berbau.

Sampel telah dihantar ke Jabatan
Kimia Malaysia (JKM) untuk dianalisis bagi memastikan pematuhan kepada Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009;

(ii) Kolam takungan banjir yang terletak kira-kira 150 meter daripada Sungai Langat merupakan kolam yang dibina oleh syarikat yang membangunkan kawasan industri Mahkota Industrial Park, Banting bagi tujuan menerima kemasukan air larian permukaan (storm water) daripada sistem perparitan industri-industri yang terdapat di sekitarnya.

Kolam ini didapati berbau akibat tiada pengaliran air (stagnant water), kolam telah menjadi semakin cetek dan dipengaruhi kemasukan air Sungai Langat semasa fenomena air pasang dan surut.

Terdapat satu outlet daripada kolam takungan banjir ini dan ia membawa aliran air berwarna hitam ke Sungai Langat.

Punca air berwarna hitam dan berbau bukanlah daripada efluen yang dilepaskan oleh kilang tetapi akibat kejadian limpahan air bukan najis (grey water) dan kumbahan rumah kongsi yang berlaku pada bulan Ogos 2020 iaitu sebelum tindakan pembaikan
diambil oleh pihak kilang.

Penjelasan 2: Sisa Kumbahan Rumah Kongsi Tidak Diurus Dengan Baik

(i) Pada masa kini, kumbahan daripada rumah kongsi dirawat menggunakan dua (2) unit tangki septik dan dilakukan proses nyah enapcemar (desludging) oleh kontraktor berlesen pada setiap minggu.

Tiada kumbahan yang dilepaskan ke mana–mana alur air; dan (ii) Air basuhan daripada dapur dan air mandian pekerja (air bukan najis) daripada rumah kongsi dipam masuk ke sistem pengolahan efluen perindustrian (SPEP) kilang kerana air bukan najis ini bersifat organik dan boleh dirawat oleh kilang.

Langkah ini adalah sementara
kerana rumah kongsi akan dirobohkan dalam tempoh dua (2) bulan lagi dan rumah kongsi yang baru sedang dibina iaitu dalam kawasan kilang.

Keadaan Sekitar Rumah Kongsi (Gambar Lama vs Gambar Terkini)

Penjelasan 3: Bunyi Bising dan Pencemaran Udara Menyebabkan Gangguan Kesihatan Kepada Penduduk Taman Bakti

(i) Bunyi bising yang terhasil adalah daripada kerja-kerja pemindahan atau pemunggahan kontena di kawasan peletakan kontena (container yard) yang terletak dalam jarak 30 meter daripada Taman Bakti.

Walau bagaimanapun, kawasan peletakan kontena ini telah dialihkan ke kawasan di luar kilang dan kini terletak lebih jauh
daripada kawasan perumahan.

Sebagai tindakan segera, JAS Negeri Selangor telah mengarahkan pihak
kilang untuk melepaskan air larian hujan (storm water) dalam parit besar untuk membantu proses pencairan air berwarna hitam di kolam takungan.

Keadaan parit dihadapan kilang yang menghala ke kolam takungan banjir (Gambar lama vs gambar terkini)

Disamping itu, bilangan pam ditambah untuk menyedut semua air bukan najis ke sistem pengolahan efluen perindustrian (SPEP) kilang untuk dirawat, sementara menunggu kelulusan kerja-kerja penyelenggaraan
kolam takungan banjir yang telah dimohon oleh pihak kilang kepada Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL).

JAS ingin merakamkan penghargaan kepada orang awam yang sentiasa prihatin dengan isu pencemaran alam sekitar. Sebarang aduan boleh dikemukakan ke talian bebas tol JAS di 1-800-88-2727 atau email ke
aduan_k@doe.gov.my dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.

Rentas7.com/JAS

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.