Warisan dijangka dominasi PRN Sabah

Dato' Dr Mustafa Idrus

KUALA LUMPUR– Timbalan Pengerusi Parti Warisan Negeri Kedah, Dato’ Dr Mustafa Idrus menjangkakan bahawa Parti Warisan berpotensi besar untuk meraih kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang bakal diadakan tidak lama lagi, hasil daripada kebangkitan semula kesedaran rakyat terhadap pentingnya kepimpinan yang lahir dari bumi Sabah sendiri.

Dato’ Dr Mustafa berkata, bahawa perkembangan politik semasa di Sabah menunjukkan rakyat kini lebih matang dalam menilai keikhlasan parti-parti yang bertanding.

Beliau menegaskan bahawa Warisan merupakan satu-satunya parti tempatan yang konsisten memperjuangkan hak, maruah dan suara rakyat Sabah tanpa bergantung kepada “talian hayat” politik dari Semenanjung. 

 

 

 

 

“Rakyat Sabah sudah lama menjadi mangsa percaturan politik pihak luar. Mereka sudah melihat bagaimana parti-parti yang datang dari Semenanjung hanya muncul ketika musim pilihan raya, membawa janji manis, tetapi selepas menang, segala janji dilupakan,” tegasnya.

Dato’ Dr Mustafa menambah bahawa rakyat kini semakin hilang kepercayaan terhadap parti-parti yang pernah bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) termasuk UMNO dan rakan-rakan politiknya, kerana terbukti mereka tidak membawa aspirasi sebenar rakyat Sabah.

“Mereka datang dengan wajah baharu tetapi membawa perangai lama. Mereka tidak membawa suara rakyat Sabah, sebaliknya membawa agenda politik pusat. Ini bukan politik pembelaan, tetapi politik penindasan berwajah manis,” katanya.

Menurut beliau, Warisan telah menunjukkan keupayaan dalam membawa naratif baharu yang berpaksikan autonomi, pembangunan seimbang dan kesejahteraan rakyat tanpa mengira kaum dan agama. Pendekatan kepimpinan Datuk Seri Shafie Apdal dilihat matang, berprinsip dan berpaksikan realiti negeri Sabah yang berbeza daripada negeri-negeri di Semenanjung.

“Sabah memerlukan politik yang berakar daripada tanahnya sendiri. Kepimpinan Warisan memahami denyut nadi rakyat dari Kota Belud hingga ke Semporna. Ini kekuatan yang tidak boleh dipalsukan oleh mana-mana parti import,” katanya.

Dalam masa sama, Dato’ Dr Mustafa menyeru rakyat Sabah supaya tidak terpedaya dengan propaganda yang cuba menggambarkan Warisan sebagai parti yang lemah atau terpinggir.

Katanya, naratif sedemikian hanyalah percubaan untuk mengekang kebangkitan rakyat Sabah yang semakin berani menyuarakan keinginan untuk menentukan masa depan mereka sendiri.

“Sabah bukan pinggiran politik Malaysia. Sabah adalah nadi penting negara, tetapi terlalu lama suara mereka diredam oleh kuasa luar. PRN kali ini bukan cuma pilihan raya negeri, sebaliknya adalah referendum terhadap maruah dan kedaulatan rakyat Sabah,” katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa PAMM, sebagai badan masyarakat madani dari Semenanjung, menghormati dan menyokong perjuangan rakyat Sabah untuk berdiri atas kaki sendiri dengan kepimpinan yang jujur, berwibawa dan memahami nilai tempatan.

“Kami tidak mencampuri urusan politik negeri, tetapi sebagai rakyat Malaysia, kami menyokong mana-mana gerakan yang mahu memperkukuh suara rakyat dan memperjuangkan keadilan wilayah. Warisan telah membuktikan komitmen itu,” katanya.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.