Sekolah Rendah, Menengah Agama termasuk pondok dibuka semula

SUNGAI PETANI- Sebanyak 34 buah Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) terlibat dalam sesi persekolahan semula hari ini.

Pembukaan pertama selepas sekolah ditutup akibat penularan wabak COVID-19 pada 18 Mac lalu melibatkan pelajar Tingkatan 1, 2, 3 dan 4.

Exco Pendidikan Kedah, Brigadier Jeneral (B) Datuk Najmi Ahmad berkata, jumlah keseluruhan pelajar terlibat bagi sesi kali ini adalah seramai 7155 orang .

“Ia merangkumi 2,017 pelajar Tingkatan 1, 1,851 (Tingkatan 2), 1,762 (Tingkatan 3) dan 1,525 (Tingkatan 4),” katanya kepada Rentas7.com hari ini.

Beliau berkata, bagi pembukaan sekolah pada 24 Jun lalu melibatkan 1 334 pelajar Tingkatan Lima dan 497 pelajar Tingkatan Enam.

“Jumlah keseluruhan pelajar terlibat adalah 8,986 orang,” katanya.

Najmi dua kiri meninjau salah sebuah kelas di Sekolah Agama Daris Sungai Jagung hari ini

Beliau berkata, pembukaan pusat tahfiz seluruh Kedah yang berdaftar di bawah Jabatan Hal Ehwal agama Islam Kedah (JHEAIK) pula melibatkan 87 buah sekolah.

Beliau berkata, keseluruhan pelajar tahfiz yang menyambung semula sesi persekolahan adalah 5,457 orang.

“Daripada jumlah itu, seramai 3,920 pelajar adalah lelaki dan 1,537 orang pula perempuan,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 28 pondok terlibat dalam pembukaan semula membabitkan 2,422 pelajar lelaki dan 1,448 pelajar perempuan dengan jumlah keseluruhan 3,870 orang.

“Bagi Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) pula melibatkan 1,597 pelajar Tahun 5 dan 1,374 Tahun 6 dengan jumlah keseluruhannya sebanyak 2,971 orang,” katanya.

Katanya, pembukaan SRAR pada 22 Julai akan melibatkan pelajar Tahun 1, 2, 3 dan 4 melibatkan 35 buah sekolah.

“Jumlah keseluruhan pelajar akan terlibat adalah sebanyak 10,987 orang,” katanya.

Terdahulu, Najmi mengunjungi Sekolah Agama Daris Sungai Jagung bagi memantau hari pertama sesi persekolahan dibuka semula.

Turut hadir, Penolong Pegawai Bahagian Pendidikan, Syeikh Abdullah Md Mokhtar dan wakil Pegawai Agama Daerah Kuala Muda, Syed Mohd Nazif Zakaria.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.