PM baru, Mukhriz tak boleh “move on”?

 

JERLUN– Timbalan Pengerusi Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir jelas kecewa dengan pembentukan kerajaan Bumiputera yang turut disertai pemimpin parti itu.

Kekecewaan Mukhriz itu digambarkan melalui kenyataan terbaru di Facebooknya, hari ini.

Mukhriz antara pemimpin dalam Bersatu yang menolak Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kelapan sebaliknya mahu Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri semula.

Senada dengan Mukhriz adalah Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abd Rahman.

Beliau yang juga Menteri Besar Kedah mengaitkan Pemangku Pengerusi Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Perdana Menteri baru sebagai punca keretakan PH.

“Saya antara satu dua pemimpin UMNO tahun 2015 yang menziarahi Muhyiddin apabila Najib Razak (bekas Perdana Menteri) memecatnya sebagai Timbalan Perdana kerana mempersoalkan dana 2.6 bilion yang masuk dalam akaun peribadi Najib.

“Kini apabila nafsu mengatasi prinsip – kesetiaan dan persaudaraan dikhianati,”tulisnya.

Hari ini Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kelapan setelah mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Pelantikan tersebut diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pada 24 Februari kerajaan PH terbubar apabila Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri ke-tujuh serta melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Bersatu.

Ia diikuti dengan pengumuman Bersatu keluar daripada gabungan PH.

Menjejaskan lagi PH apabila 11 Ahli Parlimen PKR umum keluar parti untuk membentuk blok bebas dalam Dewan Rakyat.

Rentas7.com/ Foto: Mukhriz Mahathir FC

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.