Jangan tunggu saat akhir kawal stok dan harga barang

Datuk Mustaffa Idrus

SUNGAI PETANI-Bekalan asas seperti minyak masak, telur dan ayam pada Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri perlu dipastikan cukup dari sekarang.

Ketua Penerangan Majlis Ekonomi Halal Malaysia, Datuk Mustaffa Idrus berkata, kerajaan diharap tidak menunggu hingga bulan Ramadan atau menghampiri Aidilfitri untuk ambil tindakan.

“Jangan buat kerja dua kali. Setiap kali musim perayaan pasti bekalan tidak cukup dan meningkat mahal.

“Dalam tempoh dua minggu sebelum Ramadan ini, kerajaan sepatutnya sudah ada pelan terperinci mengawal kekurangan bekalan dan kenaikan harga barang. Jangan buat kerja saat-saat akhir,”katanya kepada pemberita hari ini.

Mustaffa berkata, kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga diharap dapat melakukan operasi kepada peniaga atau pemborong yang sengaja menyembunyikan stok serta menaikkan harga barang.

“Kita harap KPDNHEP dapat melakukan operasi sebelum, semasa dan selepas bulan Ramadan.

“Mudah-mudahan pada tahun ini isu kekurangan bekalan dan kenaikan harga barangan tidak berulang.

“Kita tidak mahu peniaga melakukan pembelian panik. Dalam keadaan wabak Omicron masih berleluasa, sudah tentu ia akan mengundang lebih banyak masalah kepada rakyat dan negara,”katanya.

Katanya, pihaknya mengalu-alukan jemputan atau kerjasama dari kerajaan bagi membendung masalah yang sering berlaku saban tahun itu.

“Majlis Halal Ekonomi Malaysia bersedia memberikan kerjasama kepada kerajaan. Kita mempunyai ramai pakar yang boleh memberikan idea dan pelan tindakan kepada kerajaan,”katanya.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.