60 kilogram daun ketum dirampas

Daun ketum yang disembunyikan di celah pokok pokok paya bakau

ALOR SETAR– Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Kedah merampas 60 kilogram daun ketum yang disembunyikan di celahan pokok pada kedudukan 0.1 batu nautika dari pesisir pantai Kuala Tunjang, kelmarin.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, bungkusan plastik itu cuba disembunyikan sebelum dibawa ke negara jiran.

“Sebuah bot ronda Maritim Malaysia telah diatur gerak ke kawasan berkenaan untuk rondaan Op Aman sebelum mengesan beberapa bungkusan plastik yang diletakkan di celahan pokok dalam keadaan mencurigakan di pesisir pantai.

“Anggota penguat kuasa kemudian memeriksa enam bungkusan guni serta plastik berwarna hitam terbabit dan menemukan daun ketum yang disyaki cuba diseludup keluar ke negara jiran iaitu Thailand,” katanya.

Beliau berkata, kesemua daun ketum berkenaan cuba diseludup ekoran permintaan yang tinggi.

“Harganya yang melonjak sehingga RM180 sekilogram berbanding pasaran tempatan yang hanya RM40 sekilogram.

“Semua hasil rampasan yang dianggarkan bernilai RM10,800 dibawa masuk ke jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat bagi tindakan lanjut,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.