27 Menteri EU “disekolahkan” Hishammuddin

Hishammuddin dalam Mesyuarat Menteri Luar Asean- EU siang tadi

KUALA LUMPUR-Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein membuat gesaan kepada Kesatuan Eropah (EU) supaya menghentikan diskriminasi minyak sawit Malaysia.

“Berhenti diskriminasi minyak sawit Malaysia! Ini gesaan saya di hadapan 27 orang Menteri Luar Negara Kesatuan Eropah (EU) sewaktu Mesyuarat Menteri Luar ASEAN-EU tadi yang turut disertai semua Menteri Luar ASEAN.

“Saya tegaskan, salah faham Eropah tentang kemampanan minyak sawit memberi impak negatif terhadap industri sawit Malaysia,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tindakan negatif EU terhadap minyak sawit negara akan memberikan kesan kepada lebih 500,000 pekebun kecil sawit, ahli keluarga mereka dan komuniti setempat.

Bagi mencari jalan penyelesaian, beliau berkata, Wisma Putra akan terus membantu mencari jalan agar isu diskriminasi ini segera berakhir.

“Salah satunya, Malaysia dan Indonesia teguh bersama untuk menubuhkan Jawatankuasa Kerja Bersama ASEAN-EU yang akan bermula seawal Januari 2021.

“Semoga dengan usaha ini, ada penyelesaian yang memanfaatkan 500,000 pekebun kecil sawit khususnya. InsyaAllah!,”katanya.

Parlimen Eropah pada April 2017 meluluskan resolusi yang mensyaratkan hanya minyak sawit dihasilkan secara lestari boleh diimport ke pasaran EU selepas 2020.

Resolusi itu membawa kepada tindakan diskriminasi EU terhadap sekatan produk minyak sawit dari Asia.

Dua negara pengeluar sawit paling terjejas atas tindakan ini ialah Malaysia dan Indonesia, kedua-dua negara menyumbang kepada 85 peratus bekalan minyak sawit dunia.

Rentas7.com

 

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.