Kuari batu Gunung Pulai sah dibatalkan?

Abd Nasir Idris menunjukkan dokumen penting dan terkini Gunung Pulai

BALING– Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayu, Abd Nasir Idris menjemput semua pencinta alam sekitar yang masih ragu dengan status Gunung Pulai supaya bertemunya.

Abd Nasir berkata, beliau mempunyai dokumen terperinci berkaitan pembatalan operasi kuari batu kapur di Gunung Pulai.

“Dokumen ini akan menjawab segala persoalan berbangkit dan tohmahan pihak tertentu kononnya kerajaan negeri yang ada hari ini hanya sembang kosong untuk selamatkan Gunung Pulai.

“Jadi saya jemput pencinta alam yang masih ragu-ragu dan khuatir supaya bertemu dengan saya,” katanya kepada Rentas7.com hari ini.

Abd Nasir berkata, tapak gantian kepada kuari batu kapur Gunung Pulai telah pun dikenal pasti.

Operasi batu kapur Gunung Pulai diluluskan kerajaan negeri terdahulu pada 28 Februari 1996 kepada sebuah syarikat.

Namun disebabkan ekonomi yang gawat ketika itu, operasi kuari tidak dijalankan oleh pihak operator.

Pada 2018 pada, penduduk di sekitar Gunung Pulai bersama Abd Nasir Idris sebagai aktivis masyarakat ketika itu bangkit mengadakan beberapa siri bantahan apabila usaha melaksanakan operasi kuari timbul sekali lagi.

Warta kerajaan negeri Kedah berkaitan kawasan pengambilan tanah telah dikeluarkan oleh pihak Percetakan Nasional Malaysia Berhad pada 1 Mac 2018.

Kemudian, selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih Kedah selepas PRU 14, perbicaraan pengambilan tanah yang dikelolakan Pejabat Tanah Baling bermula pada 15 Julai 2019 sehingga 7 Ogos 2019.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.