Tidak dibenarkan pulang ke Malaysia jika cuti di luar negara

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR-Pengurusan tertinggi syarikat pelaburan yang bekerja di negara ini tidak dibenarkan pulang ke negara ini jika bercuti ke luar negara.

Tindakan itu bagi memastikan Malaysia bebas penularan wabak COVID-19 termasuk berlaku adil kepada rakyat negara ini yang dikenakan larangan serupa.

Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, terdapat permohonan dibuat oleh pengurusan tertinggi syarikat berkaitan yang bekerja di negara ini untuk bercuti ke luar negara.

“Kita menerima permohonan mereka untuk bercuti. Mesyuarat membuat keputusan tidak membenarkan sesiapa pun keluar bercuti termasuk pengurusan tertinggi syarikat (berkenaan).

“Jika mereka ingin juga keluar bercuti Kita tidak akan benarkan mereka kembali ke negara kita sehingga satu tarikh yang ditetapkan,” katanya dalam satu sidang media hari ini.

Jelas beliau, hanya mereka yang menguruskan syarikat pelaburan, mengurus atau menjadi pengurus kepada syarikat-syarikat lain di Malaysia dibenarkan kerajaan untuk masuk ke negara ini.

Mengulas lanjut larangan bercuti, Ismail berkata, kerajaan perlu berlaku adil kepada rakyat yang turut tidak dibenarkan bercuti atau ke luar negara.

“Rakyat kita hanya dibenarkan ke luar negara untuk menyambung pelajaran. Sebenarnya mereka tidak perlu pohon kebenaran daripada pihak Imigresen.

“Bawa surat yang menunjukkan mereka perlu kembali ke universiti atau tempat belajar di lapangan terbang dan mereka akan dibebaskan,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.