Warisan Kedah yakin manifesto penuhi kehendak rakyat

Datuk Mustaffa Idrus

SUNGAI PETANI -Warisan Negeri Kedah yakin lima inti pati manifesto PRU-15 bakal diumumkan presiden parti itu memenuhi kehendak rakyat.

Ketua Biro Perhubungan Awam Parti Warisan Negeri Kedah, Datuk Mustaffa Idrus berkata, rakyat mengharapkan kerajaan baru dibentuk nanti memenuhi keperluan dan kebajikan mereka.

Oleh itu katanya, kerajaan baru perlu zero kes rasuah dengan Warisan adalah parti berintergriti layak menggantikan parti korup.

“Warisan menampilkan muka-muka baru, segar, berintergriti dan berkaliber.

“Kita menolak pemerintahan korupsi yang semakin hari semakin menjejaskan ekonomi negara,”katanya

Mustaffa berkata, kualiti yang ada pada Warisan membolehkan Malaysia mengikut jejak langkah Indonesia yang semakin maju dalam serba serbi.

“Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sesuai dilantik sebagai Perdana Menteri.

“Beliau jauh lebih layak daripada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Anwar jenis berangan nak kepada jawatan tetapi Datuk Shafie tak pernah berangan, beliau layak diangkat kerana kredibilitinya,”katanya.

Terdahulu media melaporkan Mohd Shafie Apdal akan mengumumkan manifesto PRU-15.

Ia merangkumi lima inti pati iaitu menawarkan pentadbiran telus, memperkukuhkan perpaduan, kerajaan berintergriti, inklusif serta adil.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.