NVOG & Friends salur bantuan banjir di Pahang

Bantuan daripada NVOG&Friends berjaya disalurkan kepada mangsa banjir di Pahang

KUALA LUMPUR-Misi kemanusiaan kelab motosikal berkuasa tinggi Northern Versys Owner’s Group (NVOG & Friends) membantu mangsa banjir di Pahang pada semalam berjaya diselesaikan walaupun berdepan pelbagai kesukaran.

Presiden NVOG & Friends, Ahmad Fazrul Tajudden berkata, kesukaran itu ditempuh bermula dengan mendapatkan permit daripada pihak berwajib dan pelbagai urusan lain.

Namun katanya, ia dapat diatasi berkat daripada kesabaran, kerjasama dan kekuatan ahli-ahli NVOG & Friends.

“Kami bertolak dari Kadah pada malam Rabu iaitu 20 Januari dan selesai segala urusan kami di Lipis & Raub pada Khamis iaitu sehari selepasnya.

“Alhamdulillah misi kemanusian banjir di Benta oleh NVOG & Friends selesai dengan semua amanah yang disampaikan kepada kami telah disempurnakan,”katanya hari ini.

Tambahnya, bantuan merangkumi 150 set peralatan dan makanan seperti pakaian, lampin pakai buang, pencuci rumah, dan susu.

Beliau berkata, sepanjang misi di Pusat Kawalan Operasi Bencana ( PKOB) Lipis konvoi, mereka diringi oleh wakil dari polis daerah Lipis & Benta.

Gabungan NGO yang bersama NVOG & Friends

Menurutnya, ia bagi menjaga prosedur operasi standard ( SOP) yang ketat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kami tidak dibenarkan beramai-ramai bersama penduduk setempat tetapi hanya sekadar menyerahkan barangan yang dibawa di pusat pengumpulan atau menyerahkan kepada wakil penduduk atau wakil sukarelawan tempatan yang dilantik untuk bersama-sama kami dari mula sehingga selesai,” katanya.

Fazrul berkata, NVOG memohon maaf jika ada sebarang kekurangan semasa mengendalikan Misi Benta 2021 kali ini.

“Kami juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakan-rakan yang membantu NVOG bagi menjayakan Misi Benta 2021,” katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.