UMNO desak Mahathir tidak tunduk desakan DAP pinda SOSMA

KUALA LUMPUR-Pergerakan Pemuda UMNO menggesa Tun Dr Mahathir Mohamad tidak tunduk terhadap desakan DAP supaya meminda Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Keselamatan Khas) 2012 (SOSMA) dipinda.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi berkata, pihaknya merasa kesal dan terkejut dengan pengumuman Perdana Menteri bahawa SOSMA akan dipinda.

Menurutnya, tindakan itu dilihat sebagai langkah terburu-buru dan bersifat mala fide untuk melindungi pemimpin-pemimpin DAP dari kemungkinan ditahan lagi di bawah SOSMA.

Apatah lagi keputusan ini dibuat ketika kemuncak penahanan pimpinan DAP yang dikaitkan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE),”katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Terdahulu, media melaporkan Dr Mahathir membuat pengumuman SOSMA akan dipinda secepat mungkin dan sekiranya berkesempatan pindaan itu akan dibuat pada sesi Dewan Rakyat kali ini.

Melahirkan rasa kesal dan terkejut dengan pengumuman itu, Asyraf berkata, mana-mana peruntukan yang dikatakan zalim biarlah diputuskan keabsahannya oleh hakim yang bijaksana di mahkamah.

” Ini selaras dengan pandangan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, serta mantan-mantan Ketua Polis Negara seperti Tan Sri Ismail Omar dan Tan Sri Musa Hassan yang menyatakan tanpa SOSMA kita akan menghadapi masalah untuk menangani pengganas,”katanya.

Beliau berkata, meminda SOSMA memberikan mesej kerajaan mula berlembut dengan pengganas.

“Sekaligus bagaikan memberi mereka lesen besar untuk menarik lebih ramai penyokong dan melakukan aktiviti yang lebih ganas,”katanya.

“Justeru Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia sekali lagi mendesak agar Tun Mahathir tidak tunduk kepada desakan DAP yang boleh mendedahkan rakyat dan negara kepada risiko kemudaratan yang lebih besar!,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.