Adili kes Muhammad Adib, hukum pemimpin rasuah

SUNGAI PETANI-Pertubuhan Angkatan Masyarakat Melayu Negeri Kedah (PAMM) menyambut baik pelantikan Tan Sri Idrus Harun sebagai Peguam Negara (AG) yang baru.

Pengerusinya, Datuk Mustaffa Idrus (gambar kanan) berkata, pelantikan itu amat tepat berdasarkan kreadibiliti dan pengalaman luas dalam bidang kehakiman dimiliki Idrus.

“PAMM berharap keadilan di negara ini kembali tertegak dengan pelantikan beliau yang menerajui badan kehakiman negara,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, PAMM dan rakyat Malaysia berharap kes berprofil tinggi antaranya pembunuhan anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim diadili mengikut prinsip kedaulatan undang-undang.

“PAMM dan rakyat Kedah khususnya amat berharap Tan Sri Idrus Harun (gambar kiri) membuka dan menyiapkan siasatan Muhammad Adib yang di bunuh.

“Kita juga berharap 12 anggota kumpulan 12 terlibat kumpulan pengganas, Harimau Tamil Ealam (LTTE) yang dibebaskan didakwa semula termasuk tidak melepaskan kes rasuah membabitkan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng,”katanya.

Pejabat Perdana Menteri semalam mengumumkan pelantikan Idrus Harun berkuat kuasa semalam bagi tempoh dua tahun.

Idrus anak kelahiran Sanglang Kedah pada tahun 1955 merupakan bekas penuntut Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Hitam (1969-1974) dan Kolej Sultan Abdul Hamid (1974-75) sebelum melanjutkan pengajian di Universiti Malaya (UM).

Antaranya pengalamannya dalam bidang kehakiman ialah berkhidmat sebagai pelbagai jawatan kanan termasuk Penolong Kanan Pendaftar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Hakim Mahkamah Seksyen di Kota Kinabalu, Timbalan Pendakwaraya di Jabatan Peguam Negara, Penasihat Undang-undang Kerajaan Terengganu, Peguam Kanan Persekutuan di Badan Pencegah Rasuah dan Penasihat Undang-undang Suruhanjaya Pilihanraya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.