Bentang laporan salah laku kempen di Parlimen

KOTA BHARU- Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dituntut menyediakan laporan lengkap berkenaan pematuhan parti-parti politik dalam siri-siri pilihanraya yang berlaku.

Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, beliau telah menyarankan perkara itu dalam sesi perbahasan peringkat Jawatankuasa Belanjawan 2020 semalam.

Menurutnya, cadangan itu didorong oleh tindakan beberapa parti politik yang jelas melanggar batasan kempen seperti yang terkandung dalam Akta Kesalahan Pilihanraya 1954.

“Belum pun reda isu penggunaan jentera Kerajaan seperti yang berlaku di PRK Cameron Highlands, beberapa hari kebelakangan ini menyaksikan pelbagai janji telah ditabur oleh pemimpin parti Kerajaan dalam PRK Tanjung Piai,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, lebih malang, beberapa kenyataan sesetengah pimpinan kerajaan berunsur hasutan dan perkauman.

Menurutnya, tindakan itu boleh menggugat keamanan dan kestabilan sosial dalam negara hari ini.

“Apakah tiada kawalan dalam kempen PRK pada hari ini?

“Justeru, saya mengharapkan agar pihak SPR meneliti gesaan saya supaya menyediakan laporan lengkap tersebut setiap kali selepas pilihanraya. Malah, laporan tersebut perlu dibentangkan di Parlimen,”katanya.

Tambahnya, langkah itu bagi memastikan setiap parti politik mematuhi segala peraturan yang ditetapkan serta menggalakkan aktiviti kempen berlaku secara sihat.

“Selain itu, memastikan semak dan imbang yang berkesan terhadap peranan yang dimainkan SPR itu sendiri,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.