Tan Cheng Hoe jawab ketiadaan Ifwat

KUALA LUMPUR– Ketiadaan Ifwat Akmal Chek Kassim bermula 5 November lalu dalam kem latihan pusat Harimau Malaya akhirnya terjawab.

Jurulatih pasukan kebangsaan, Tan Cheng Hoe (gambar) mengesahkan penjaga gol Kedah itu menarik diri kerana masalah peribadi.

“Beliau ada sedikit masalah peribadi, jadi sebagai jurulatih saya perlu menghormati keputusannya.

“Kita memanggil Haziq untuk ganti Ifwat,”katanya yang dipetik daripada rangkuman video Malaysiagazette.

Pada 4 November lalu, penjaga gol JDT, Muhammad Haziq Nadzli,21, disahkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menggantikan Ifwat.

Mengulas prestasi semasa Ifwat, Tan Cheng Hoe menegaskan pemain berusia 23 itu bermain dengan begitu baik sepanjang bersama pasukan Kedah dan Kebangsaan.

Malaysia bakal menentang Tajikistan dalam perlawanan persahabatan di Kuala Lumpur pada Sabtu ini.

Perlawanan itu sebagai persiapan menentang Thailand dan Indonesia pada 14 dan 19 November bagi aksi kelayakan Piala Dunia 2022.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.