Malaysia, Vietnam dan Indonesia jadi tumpuan

Hasil Undian Piala AFF Suzuki 2020

KUALA LUMPUR-Majlis undian Piala AFF Suzuki 2020 tampak sengit apabila skuad kebangsaan diundi bersama seteru utamanya, Indonesia dalam Kumpulan B.

Menambahkan lagi kehangatan apabila Vietnam yang dua kali mengecewakan Malaysia dalam pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 Kumpulan G diundi bersama Harimau Malaya.

Pada saingan kelayakan berkenaan, Malaysia tewas 1-0 di Hanoi dan tewas 2-1 kepada Vietnam di gelanggang berkecuali iaitu di Emeriah Arab Bersatu.

Menerusi undian hari ini, Loas dan Kemboja yang turut menunjukkan peningkatan dalam saingan di rantau ini sejak beberapa tahun lalu turut diundi dalam Kumpulan B.

Pengundian dibuat secara maya dan strim langsung dalam saluran Youtube rasmi kejohanan Piala AFF Suzuki.

Sementara itu, Kumpulan A menampilkan Thailand, Myanmar, Filipina, Singapura dan juara pusingan kelayakan yang akan ditentukan oleh Brunei dan Timor Leste.

Kumpulan B boleh disifatkan sebagai kumpulan tumpuan apabila Malaysia, Vietnam dan Indonesia pasti mahu menggunakan pentas saingan ini untuk melunaskan ‘dendam’ di atas rekod lalu.

Selain misi menebus semula kekalahan skuad negara ke atas Vietnam, Indonesia juga mempunyai misi sama berdepan anak buah Tan Cheng Hoe.

Skuad Indonesia tewas dua kali kepada Malaysia pada pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 Kumpulan G di Jakarta dan Kuala Lumpur.

Sang Garuda tewas 3-2 sebelum dimalukan 2-0.

Indonesia juga berputih mata apabila tewas 3-1 dan 4-0 kepada Vietnam dalam saingan sama sekaligus mengobarkan semangat juang mereka menebus maruah ke atas lawan.

Saingan pasca pandemik COVID-19 bakal mencabar semua pasukan bertanding dan peluang merebut kejuaraan terbuka luas kepada semua pasukan khususnya bagi Vietnam, Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina dan Singapura.

Saingan Piala AFF edisi ke-13 kali ini dijadualkan berlangsung bermula 5 Disember depan hingga 1 Januari 2022.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.