Misteri bot bergelap tengah laut terbongkar

SANDAKAN-Misteri bot dalam keadaan bergelap di laut Kinabatangan membawa kepada penahanan enam warga Vietnam yang sedang menceroboh dan merompak hasil laut negara.

Aktiviti mereka pada 5 November lalu itu dikesan Kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kota Belud (KM Kota Belud) yang sedang melakukan rondaan.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid berkata, enam awak-awak termasuk tekong warga Vietnam berusia dalam lingkungan 27 hingga 44 tahun ditahan bersama bot, peralatan dan hasil balat (gamat) seberat satu tan.

Menurutnya, sebelum itu, bot berkenaan dipecut laju setelah nelayan terbabit menyedari kehadiran bot Maritim Malaysia.

“Selepas insiden kejar mengejar selama 50 minit, bot itu akhirnya berjaya ditahan lebih kurang jam 9.55 malam di posisi 15.5 batu nautika Timur Laut Kuala Kinabatangan Besar.

Salah seorang nelayan ditahan

Beliau berkata, nelayan terbabit melakukan aktiviti menangkap balat secara haram menggunakan peralatan besi direka khas.

“Ia ditarik sehingga sampai ke dasar laut menyebabkan kerosakkan ekosistem terutamanya terumbu karang.

Anggota Maritim menunjukkan sebahagian gamat dirampas

“Ini merupakan kes keempat bot nelayan Vietnam menyasarkan balat ditahan sepanjang tahun ini oleh Zon Maritim Sandakan,”katanya.

Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM 285,000 .

“Bot, peralatan dan hasil balat seberat satu tan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

“Kes akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta perikanan 1985,”katanya.

Rentas7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.